PESAWAT komersial SpiceJet. FOTO fail AFP
PESAWAT komersial SpiceJet. FOTO fail AFP
AFP

New Delhi: Sebuah penerbangan domestik India melakukan pendaratan cemas di New Delhi selepas kabinnya dipenuhi asap sejurus berlepas ke bandar tengah Jabalpur, kata syarikat penerbangan itu.

Penumpang di dalam penerbangan itu, dikendalikan oleh syarikat penerbangan komersial SpiceJet, dipindahkan dengan selamat sebaik pesawat itu kembali ke lapangan terbang di Delhi.

"Ketika melepasi ketinggian 5,000 kaki (1,524 meter), anak kapal melihat asap di dalam kabin," kata syarikat penerbangan itu di Twitter.

Video yang dikatakan menunjukkan kabin yang dipenuhi asap itu dengan cepat menjadi tular di media sosial selepas kejadian berkenaan.

Syarikat penerbangan, SpiceJet menjadi berita dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan penerbangan lain terpaksa melakukan pendaratan kecemasan bulan lalu selepas enjin kirinya terbakar, dan pihak berkuasa penerbangan menyelar syarikat itu kerana amalan latihan yang salah.

Syarikat penerbangan itu tidak mendedahkan jumlah penumpang dalam penerbangan Sabtu, tetapi berkata, pesawat itu mendarat dengan "selamat" dan penerbangan alternatif "diuruskan serta-merta" untuk pelancong.

Pada Jun, penerbangan SpiceJet ke New Delhi dengan 185 penumpang membuat pendaratan cemas di bandar Patna di timur India selepas enjinnya terbakar.

Pada Mei, beratus-ratus penumpangnya terkandas di dalam pesawat mereka selepas syarikat penerbangan tambang murah itu membatalkan atau menangguhkan penerbangan kerana "percubaan serangan perisian tebusan", katanya.

Pada bulan yang sama, pihak berkuasa penerbangan India mengenakan denda satu juta rupee India (kira-kira RM55,800) ke atas syarikat penerbangan itu kerana melatih juruterbang Boeing 737 MAXnya mengenai simulator yang rosak.

Pihak berkuasa menghalang 90 juruterbang SpiceJet daripada mengendalikan pesawat itu, mengatakan mereka tidak terlatih dengan betul, menurut laporan media tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 9:29 AM