PASUKAN penyelamat melakukan pencarian di bawah bumbung masjid yang runtuh. FOTO Reuters
PASUKAN penyelamat melakukan pencarian di bawah bumbung masjid yang runtuh. FOTO Reuters
AP

Peshawar: Angka kematian akibat serangan bom berani mati yang memusnahkan sebuah masjid, pada petang Isnin, meningkat kepada sekurang-kurangnya 83 orang.

Jurucakap sebuah hospital di sini, Muhammad Asim berkata, lebih banyak mayat ditemukan di bawah runtuhan masjid itu pada malam Isnin dan awal pagi Selasa, manakala beberapa individu yang parah meninggal dunia di hospital.

"Kebanyakan mangsa adalah polis," katanya.

Ketua pegawai penyelamat, Bilal Faizi berkata, pasukan penyelamat masih berhati-hati dalam mengalihkan sisa runtuhan masjid - yang terletak di perkarangan zon tahap keselamatan tinggi di bandar itu - kerana lebih ramai mangsa dipercayai terperangkap selepas bumbung runtuh akibat runtuhan berkenaan.

Beliau berkata, letupan bom itu turut mencederakan 150 orang.

Bagaimanapun, masih belum jelas bagaimana pengebom berani mati itu boleh memasuki kawasan tertutup dalam zon tahap keselamatan tinggi yang turut menempatkan beberapa bangunan kerajaan yang lain.

Dalam pada itu, orang awam berkabung ketika mengebumikan mangsa letupan bom berkenaan di beberapa tanah perkuburan di Peshawar dan di lokasi lain.

Pihak berkuasa masih tidak mengenal pasti individu di sebalik serangan itu.

Tidak lama selepas letupan pada Isnin, Sarbakaf Mohmand iaitu komander Taliban Pakistan atau Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) mengaku bertanggungjawab atas serangan itu melalui Twitter.

Namun, beberapa jam kemudian, jurucakap TTP, Mohammad Khurasani berkata, menjadi dasar kumpulan itu untuk tidak menyasarkan masjid, seminari atau rumah ibadat.

Beliau juga menambah individu yang mengambil bahagian dalam insiden itu berdepan hukuman mengikut peraturan TPP.

Bagaimanapun, kenyataannya tidak menjelaskan mengapa komander TTP mengaku bertanggungjawab atas serangan berkenaan.

Perdana Menteri Pakistan Shahbaz Sharif mengutuk sekeras-kerasnya letupan itu, sambil berkata, seluruh negara bersatu menentang ancaman keganasan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 2:33 PM