ANGGOTA keluarga meratap kematian seorang pelajar berusia 15 tahun.
ANGGOTA keluarga meratap kematian seorang pelajar berusia 15 tahun.
MAYAT seorang mangsa disembahyangkan sebelum dikebumikan.
MAYAT seorang mangsa disembahyangkan sebelum dikebumikan.
 SEORANG pelajar yang cedera dalam serangan itu dirawat di hospital di Peshawar.
SEORANG pelajar yang cedera dalam serangan itu dirawat di hospital di Peshawar.
Agensi

Peshawar

Pakistan semalam mula berkabung tiga hari untuk memperingati 132 pelajar dan sembilan kakitangan sekolah yang terbunuh dalam serangan kumpulan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) kelmarin.

Kebanyakan sekolah di seluruh negara itu ditutup sementara yang buka mengadakan upacara khas sebagai penghormatan kepada mangsa yang terbunuh dalam serangan yang dikecam seluruh dunia itu.

Sekolah, kolej, pejabat dan premis perniagaan juga di tutup di seluruh Khyber-Pakhtunkhwa, wilayah di barat laut Pakistan yang Peshawar menjadi ibu negerinya dan sasaran paling teruk sepanjang pemberontakan tujuh tahun TTP.

Keganasan bermula awal pagi kelmarin apabila tujuh anggota TTP menyerbu sekolah yang ditadbir tentera itu.

Seorang guru dikatakan disimbah petrol dan dibakar sementara muridnya dipaksa menyaksikan kekejaman itu.

Mangsa dipilih kerana dia isteri pegawai kanan tentera.

Dalam pada itu, seorang anggota TPP dipercayai meletupkan dirinya dalam sebuah bilik darjah yang sesak dengan 60 pelajar.

Kebanyakan mangsa berusia enam dan 18 tahun, ditembak di kepala dan dada.

Seorang pelajar berkata, dia satu-satunya yang terselamat daripada sekumpulan 10 rakannya yang cuba mencari tempat bersembunyi.

Menurutnya, semua rakannya terbunuh selepas ditembak lelaki bersenjata terbabit.

Seorang wanita pula berkata, anak rakannya terselamat dalam keganasan itu kerana bajunya berlumuran darah dan membolehkan dia pura-pura mati.

Awal pagi semalam, tentera Pakistan mengesahkan 132 daripada yang terkorban adalah pelajar sekolah dengan 122 lagi cedera.

Susulan keganasan itu, agensi perisikan dan polis melancarkan serbuan di sekitar Peshawar, menangkap dua pemimpin agama dan 27 yang lain yang disyaki mempunyai hubungan dengan serangan itu.

Serangan berkenaan dikecam masyarakat antarabangsa, termasuk kumpulan Taliban Afghanistan yang mengutuknya dengan berkata, pembunuhan kanak-kanak tidak berdosa bertentangan dengan prinsipnya.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Taliban Afghanistan, Zabiullah Mujahid berkata: “Membunuh kanak-kanak bertentangan dengan prinsip Taliban Afghanistan dan kami mengecam serangan di Peshawar. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh.”

Kumpulan Taliban Pakistan berkata, mereka mengerah anggotanya melancarkan serangan kelmarin sebagai membalas dendam terhadap operasi tentera ke atas TTP dan sekutunya di wilayah Waziristan Utara.

TTP berkata, ramai anggota mereka terbunuh dalam kempen itu dan serangan ke atas sekolah berkenaan ialah sebagai melunaskan hutang darah.

“Kami memilih sekolah tentera itu untuk menjadi sasaran kerana kerajaan menyasarkan keluarga dan wanita kami. Kami mahu keluarga tentera merasakan penderitaan kami,” kata jurucakapnya, Muhammad Umar Khorasani.

Satu sumber tentera berkata, tujuh anggotanya, termasuk dua pegawai, cedera dalam pertempuran selama lapan jam itu.

Ia serangan terburuk di Pakistan sejak pengeboman di Karachi meragut 150 nyawa dalam serangan berani mati pada 2007.

Dalam serangan kelmarin, penyerang yang menurut beberapa pelajar menggunakan bahasa asing untuk bercakap sesama mereka, berjaya
menyusup masuk ke sekolah yang dikawal ketat itu kerana mereka memakai pakaian seragam tentera Pakistan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 5:07 AM