Tapak masjid di mana letupan berlaku hingga mengorbankan 101 individu. - FOTO Reuters
Tapak masjid di mana letupan berlaku hingga mengorbankan 101 individu. - FOTO Reuters
AP

Peshawar: Pengebom berani mati yang membunuh 101 orang di sebuah masjid di barat laut Pakistan minggu ini menyamar dengan mengenakan pakaian seragam polis dan tidak menimbulkan syak wasangka dalam kalangan pengawal, kata ketua polis wilayah itu pada Khamis.

Moazzam Jah Ansari berkata pengebom telah dikenal pasti dan polis hampir menangkap anggota rangkaian yang berada di sebalik serangan itu, antara kejadian paling kejam pernah berlaku di Peshawar, ibu negara di wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

"Kami akan membalas dendam atas kesyahidan setiap anggota polis," kata Ansari pada sidang akhbar.

Letupan itu meruntuhkan bumbung masjid berusia 50 tahun itu, mengorbankan 101 orang, kebanyakannya anggota polis.

Seramai 225 orang cedera.

Ansari bercakap sehari selepas berpuluh-puluh pegawai polis menyertai perarakan keamanan yang dianjurkan oleh anggota kumpulan masyarakat sivil di Peshawar, menuntut perlindungan untuk diri mereka sendiri.

Beberapa jam selepas pengeboman, Menteri Pertahanan Pakistan Khawaja Mohammad Asif menuduh Taliban Pakistan, yang dikenali dengan singkatan TTP, melakukan serangan itu, mengatakan mereka beroperasi dari wilayah jiran Afghanistan.

Pakistan mahu Taliban Afghanistan mengambil tindakan terhadap kumpulan TTP.

Sejurus selepas pengeboman, seorang komander TTP mengaku bertanggungjawab, tetapi lebih 10 jam selepas serangan itu, ketua jurucakap kumpulan itu menafikan pembabitan TTP daripada kejadian itu dan berkata bukan dasar mereka untuk menyerang masjid.

Lebih 300 jemaah sedang bersolat di masjid itu, dengan lebih ramai jemaah berada di kawasan berhampiran, apabila pengebom itu membuka jaket bahan letupannya.

Ansari berkata penyerang itu tidak diperiksa kerana pengawal mengandaikan bahawa dia adalah salah seorang daripada rakan sekerja mereka.

"Ya, saya mengakui bahawa ia adalah kesilapan keselamatan dan saya bertanggungjawab ke atasnya," kata Ansari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 6:02 PM