POLIS Thailand menunjukkan sebahagian daripada syabu yang dirampas menerusi operasi itu. FOTO AFP
POLIS Thailand menunjukkan sebahagian daripada syabu yang dirampas menerusi operasi itu. FOTO AFP
AFP

Bangkok: Polis Thailand menumpaskan sindiket penyeludupan dadah dan merampas 1.1 tan dadah jenis methamphetamine dalam tempoh kurang seminggu.

Kejayaan itu selepas polis Thailand meningkatkan operasi di kawasan pedalaman utara yang menjadi lokasi penyeludupan dadah secara haram.

Timbalan Ketua Polis Negara, Chinnapat Sarasin berkata, seramai 10 warga tempatan ditahan dalam siri serbuan di utara dan selatan negara itu.

Beliau menerusi kenyataan semalam berkata, polis menemui 731 kilogram (kg) methamphetamine dalam dua serbuan di wilayah selatan Thai Phatthalung dan Surat Thani.

Berdasarkan maklumat, polis menahan tiga lelaki dan menemui 688 kilogram dadah jenis sama dalam tiga lori, pada Khamis lalu.

Dadah berkenaan disyaki mahu diseludup ke timur laut Thailand sebelum dibawa ke selatan.

Susulan penahanan itu, polis kemudian menahan empat lagi suspek selepas menemui 43 kilogram dadah yang dijual menerusi aplikasi popular Thai, Line.

Pada Ahad, seorang lagi lelaki ditahan di utara wilayah Chiang Rai ketika suspek sedang mengangkut kira-kira 300 kg dadah yang disembunyikan dalam uncang teh.

Dadah itu dipercayai akan dihantar ke Satun.

Serbuan terakhir di tengah wilayah Nakhon Sawan dan Patum Thani, polis menahan dua lelaki dan merampas kira-kira 114 kg dadah yang disembunyikan dalam bungkusan kopi.

"Dadah berkenaan disembunyikan untuk tempoh masa tertentu sebelum diangkut ke wilayah paling selatan dan dadah itu disyaki akan diseludup keluar ke negara lain.

"Thailand dikelilingi pusat pengeluaran dadah, namun pandemik Covid-19 menghalang aktiviti penyeludupan bahan terlarang itu.

"Apabila sempadan negara dibuka semula, dadah dibawa masuk tanpa henti dan dipercayai didalangi sindiket antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 10:34 AM