KETUA Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan (dua dari kanan) pada sidang media mengenai rampasan dadah jenis kokain seberat 88 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM17.6 juta menerusi serbuan di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pada 1 Ogos lalu.
KETUA Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan (dua dari kanan) pada sidang media mengenai rampasan dadah jenis kokain seberat 88 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM17.6 juta menerusi serbuan di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pada 1 Ogos lalu.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Dadah RM28 juta gagal lolos!

Kuala Lumpur: Dalam tempoh 10 hari saja, hampir satu tan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM28.22 juta dan boleh digunakan kira-kira empat juta penagih untuk melepaskan gian sekiranya ia masuk ke 'pasaran'.

Dadah itu adalah jumlah yang berjaya dirampas oleh pasukan keselamatan hanya dalam tempoh 18 hingga 27 Julai lalu, mungkin ada lagi dalang atau sindiket pengedaran bahan terlarang yang berjaya lolos serta belum dapat dibongkar.

Dalang atau sindiket itu dikesan semakin berani mencabar undang-undang negara ini dengan menyasarkan Malaysia bukan sahaja aktif menyeludup masuk bahan terlarang terbabit dari negara luar, malah turut mewujudkan makmal pemprosesannya di sini.

Namun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak duduk diam serta sentiasa peka dalam menjalankan risikan atau siasatan bagi membanteras kegiatan sindiket yang mengancam negara.

JKDM melalui beberapa siri operasinya sepanjang tempoh itu berjaya merampas kira-kira 400 kilogram (kg) dadah yang cuba diseludup masuk melalui sempadan darat dan laut negara.

Pada 18 Julai lalu, sebanyak 232.05kg dadah jenis 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dianggarkan bernilai RM17 juta yang cuba diseludup masuk melalui KLIA Terminal 1, Sepang, Selangor dirampas.

Rampasan itu adalah terbesar membabitkan MDMA yang menjadi bahan utama digunakan bagi menghasilkan pil ekstasi dan berdasarkan jumlah beratnya, ia mampu menghasilkan 1.5 tan pil ekstasi.

Pada 26 Julai lalu pula, JKDM merampas kira-kira 100 kilogram dadah jenis syabu disembunyikan dalam bungkusan serbuk pencuci yang dianggarkan bernilai RM3.36 juta di Pelabuhan Sepanggar, Sabah.

JKDM melalui pasukan Zon Tengah (Unit III) KLIA Terminal 1 sekali lagi dilaporkan berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis Methamphetamine dan MDMA seberat 67kg bernilai lebih RM3.2 juta pada 26 Julai lalu.

Mengikut anggaran, dadah terbabit cukup untuk bekalan kira-kira 336,000 orang penagih.

PDRM pula menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) turut dilaporkan merampas lebih 82kg dadah jenis syabu serta heroin dianggarkan bernilai RM3.3 juta dalam dua operasi berasingan di Ipoh, Perak dalam tempoh yang sama.

Selain menumpaskan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah, PDRM juga berjaya membongkar kegiatan sindiket yang menjadikan kilang sebagai makmal memproses ketamin di Iskandar Puteri, Johor dan merampas 4.63kg dadah jenis itu serta 166 liter cecair bernilai lebih RM2.13 juta dalam serbuan pada 25 dan 26 Julai lalu.

Dadah yang dirampas daripada sindiket itu dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan dan boleh digunakan oleh seramai 853,155 penagih dadah.

Di Kuala Lumpur pula, polis berjaya menemui rumah kedai yang dijadikan stor penyimpanan dadah dengan pelbagai dadah bernilai RM572,000 dirampas pada 27 Julai lalu.

Difahamkan, pihak berkuasa kini sedang mempergiatkan operasi membanteras sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah termasuk antarabangsa bagi mengekang jenayah itu berleluasa.

JSJN komited perangi sindiket dadah hingga ke akar umbi

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berdepan cabaran yang semakin hebat dalam menangani ancaman sindiket dadah tempatan dan antarabangsa.

Mengakui perkara itu, Pengarah JSJN Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din berkata, jabatannya komitmen penuh melalui risikan dan siasatan terperinci serta proaktif tanpa mengira masa bagi memastikan sindiket dapat ditumpas sehingga akar umbi.

Beliau berkata, usaha itu termasuk bagi memutuskan rantaian sindiket dan orang tengah serta menghalang kemasukan bekalan dadah ke negara ini.

"Dadah adalah punca kemusnahan apabila pelbagai masalah sosial muncul daripada penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

"Seharusnya tiada ruang atau peluang boleh diberikan kepada sindiket dadah bermaharajalela kerana kegagalan menangani ancaman ini akan menyebabkan masyarakat hilang keyakinan terhadap PDRM.

"Kejayaan JSJN adalah bukti bahawa kita tegas dalam melaksanakan tanggungjawab diamanahkan," katanya.

Bagi tempoh 24 hingga 30 Julai lalu, sebanyak 508.89 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis dan 10,770 liter cecair dadah membabitkan nilai keseluruhan RM4.66 juta dirampas JSJN seluruh negara.

Jumlah tertinggi dadah yang berjaya dirampas JSJN adalah daun ketum sebanyak 328.20 kg diikuti kristal syabu (78.83 kg), heroin (12.55 kg), selain cecair bahan kimia (10,000 liter), air ketum (530.33 liter) dan cecair ketamin (166 liter).

Untuk yang sama juga, JSJN turut menahan 3,068 pengedar dan penagih atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

Mengulas lanjut, Mohd Kamaruddin berkata, JSJN melaksanakan tindakan penguatkuasaan melalui undang-undang mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan Akta Dadah Berbahaya 1952 (Langkah-Langkah Pencegahan Khas).

Selain itu, beliau berkata, JSJN memperluas jaringan risikan bersama agensi penguat kuasa lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta agensi dari luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 12:01 PM