ANGGOTA polis mempamerkan sebahagian ganja yang dirampas di wilayah Chon Buri, kelmarin. - Bangkok Post
ANGGOTA polis mempamerkan sebahagian ganja yang dirampas di wilayah Chon Buri, kelmarin. - Bangkok Post

Bangkok: Pihak berkuasa Thailand menahan dua lelaki dan merampas dadah jenis ganja seberat tiga tan selepas menyerbu sebuah gudang di wilayah Chon Buri, kelmarin.

Jurucakap Polis Peronda Sempadan, Prapan Chan-em semalam berkata, suspek yang ditahan itu adalah seorang lelaki warga Taiwan berusia 64 tahun dan seorang lagi warga tempatan berusia 44 tahun.

Katanya, pihaknya mengesan satu kuantiti dadah yang besar diseludup melepasi sempadan dari wilayah Bolikhamxay di Laos ke daerah Muang di Thailand.

Dadah itu kemudian dipindahkan ke sebuah gudang di Chon Buri sebelum diseludup ke Australia.

“Maklumat ini membawa kepada serbuan di sebuah gudang di daerah Bo Kwang Thong di wilayah Chon Buri pada Ahad lalu,” katanya dalam satu sidang media semalam.

Menurutnya, dadah itu dibungkus dan diletakkan di dalam kotak yang dilabelkan sebagai sarung tangan getah untuk kegunaan perubatan.

Lelaki Taiwan itu memberitahu polis, dia membuka sebuah syarikat pada 2007 untuk mengeksport sarung tangan getah yang digunakan sebagai helah bagi menyeludup dadah.

Dia membeli dadah itu dari Laos sebelum diseludup ke negara ketiga.

Kata Prapan, kedua-dua suspek didakwa atas tuduhan memiliki dan mengedar dadah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 10:37 AM