Ahmad Hasbi


Seremban: Sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang didalangi warga tempatan dikesan menggunakan jalan laut untuk menyeludup masuk ke negara ini melalui sempadan Malaysia - Thailand dekat Satun.

Dadah dari Segi Tiga Emas itu seterusnya dibawa ibu negara untuk pasaran tempatan dan ada juga yang dibawa terus ke selatan semenanjung untuk diseludup ke negara jiran termasuk Australia, juga menggunakan jalan laut.

Ia dibuktikan dengan beberapa kejayaan serbuan dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Perlis, Kedah dan Johor sejak tahun 2020 yang mana pelbagai jenis dadah seberat 1,301 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM27 juta dilupuskan, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Khairul Anwar Bachok berkata, pelupusan dadah yang terdiri daripada ganja, heroin, morfin, methamphetamine dan MDMA itu dilaksanakan selepas APMM menerima perintah rasmi mahkamah selepas ia selesai dibicarakan.

"Dadah ini adalah hasil rampasan yang dilakukan APMM Zon Maritim Kuala Kedah, Kedah/Perlis dan Tanjung Sedili serta Batu Pahat, Johor dari 2020 hingga awal 2023.

"Proses pelupusan dijalankan dengan menggunakan kaedah pembakaran melalui inkubator. Kaedah ini cara selamat dan berkesan untuk memusnahkan dadah tanpa mencemari alam sekitar," katanya.

Khairul Anwar, dadah berkenaan cuba diseludup masuk ke negara ini melalui utara dipercayai untuk pasaran tempatan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan Malaysia turut dijadikan transit sebelum diseludup keluar melalui Johor.

"Di utara, kami mendapat maklumat daripada pihak berkuasa Thailand yang memaklumkan sumber dadah ini dari Laos, Kemboja dan Myanmar. Ada yang diedarkan untuk pasaran tempatan dan dibawa ke ibu negara.

"Sejak 2018 hingga kini, seramai 86 warga tempatan dan 20 warga asing ditahan bagi tiga Zon Maritim ini. Bagaimanapun, kebanyakan dadah yang dilupuskan hari ini tidak membabitkan tangkapan suspek yang mana proses perbicaraan lebih cepat untuk dilucuthakkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 12:37 PM
KHAIRUL Anwar (tiga dari kiri) menunjukkan pelbagai jenis dadah bernilai RM27 juta yang akan dilupuskan di Kualiti Alam, Bukit Pelanduk. FOTO Azrul Edham.
KHAIRUL Anwar (tiga dari kiri) menunjukkan pelbagai jenis dadah bernilai RM27 juta yang akan dilupuskan di Kualiti Alam, Bukit Pelanduk. FOTO Azrul Edham.