WANITA Afghanistan mengenakan burqa di Kandahar. FOTO AFP
WANITA Afghanistan mengenakan burqa di Kandahar. FOTO AFP
BERNAMA

London: Agensi bantuan antarabangsa terpaksa menarik diri untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan selepas pihak Taliban melarang wanita bekerja dengan badan bukan kerajaan (NGO), kata Setiausaha Luar Britain James Cleverly.

Justeru, beliau menyarankan rejim Taliban menarik balik keputusan itu kerana berjuta-juta rakyat Afghanistan akan menderita akibat dasar itu, lapor PA Media/dpa.

Sementara itu, pegawai tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Kabul bertemu dengan seorang menteri Taliban untuk membincangkan mengenai perkara itu.

Larangan itu mendorong beberapa agensi bantuan antarabangsa untuk menangguhkan operasi di Afghanistan.

"Taliban cuba untuk melenyapkan peranan wanita dalam masyarakat di Afghanistan. Melarang wanita bekerja untuk NGO akan menghalang berjuta-juta rakyat Afghanistan daripada mengakses bantuan dan bekalan menyelamatkan nyawa. Ini akan memberi kesan kepada semua orang. Taliban mesti segera tarik balik keputusan ini,"katanya.

Langkah larangan itu diumumkan pada Sabtu oleh Menteri Ekonomi Qari Din Mohammed Hanif kerana mendakwa beberapa pekerja wanita NGO di Afghanistan tidak memakai hijab dengan sempurna.

Menurut Islamic Relief petugas wanita memainkan peranan penting dalam menyediakan penjagaan kesihatan, makanan dan membantu balu serta anak yatim.

Islamic Relief menangguhkan sementara aktiviti lain di Afghanistan kerana larangan itu, namun penjagaan kesihatan untuk membantu menyelamatkan nyawa akan diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 10:57 AM