Pengawal Taliban berkawal di jalan di Kunduz, Afghanistan. Foto AFP
Pengawal Taliban berkawal di jalan di Kunduz, Afghanistan. Foto AFP
Agensi

Washington: Perbincangan antara delegasi Amerika Syarikat (AS) dengan Taliban di Qatar pada Sabtu dan Ahad lalu berjalan lancar dalam suasana 'santai ​​dan profesional', menurut kenyataan Jabatan Negara AS pada Ahad.

Jurucakap jabatan itu, Ned Price berkata, rundingan itu adalah yang pertama sejak tentera AS berundur dari Afghanistan pada Ogos, lapor Agensi Anadolu.

"Delegasi AS menumpukan perbincangan mengenai keselamatan, keganasan dan perjalanan yang selamat bagi rakyat Amerika, warga asing dan rakan kami di Afghanistan serta isu hak asasi manusia, termasuk penyertaan kaum wanita dalam semua aspek kemasyarakatan di Afghanistan," kata Price .

Kedua-dua pihak turut membincangkan mengenai bantuan kemanusiaan AS secara terus kepada rakyat Afghanistan.

"Taliban akan dinilai berdasarkan tindakannya bukan apa yang mereka ucapkan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Luar untuk Kabinet sementara Taliban, Amir Khan Muttaqi berkata, pertemuan itu antara lain membincangkan mengenai hubungan dua hala antara Kabul dan Washington, pelaksanaan perjanjian Doha, bantuan kemanusiaan dan aset Afghanistan yang dibekukan AS.

"Kami jelaskan kepada mereka bahawa usaha untuk menggugat kerajaan di Afghanistan tidak membawa kebaikan kepada sesiapa pun," kata Muttaqi.

Taliban kembali menguasai Kabul pada 15 Ogos lalu. Kumpulan itu pernah memerintah Afghanistan dari 1996 hingga 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 1:19 PM