LELAKI berjalan dalam cuaca bersalji di Kabul, Afghanistan. FOTO AFP
LELAKI berjalan dalam cuaca bersalji di Kabul, Afghanistan. FOTO AFP
AFP

Kabul: Sekurang-kurangnya 166 individu maut dalam gelombang cuaca sejuk yang melanda Afghanistan, kata pegawai pada Sabtu.

Afghanistan mengalami suhu beku sehingga serendah -33 darjah Celsius sejak 10 Januari lalu, diburukkan lagi dengan salji, ribut ais dan gangguan elektrik.

Agensi keselamatan, sebelum ini, mengeluarkan amaran bahawa lebih separuh daripada 38 juta penduduk Afghanistan menghadapi kelaparan, manakala hampir empat juta kanak-kanak kekurangan zat makanan.

Agensi Pengurusan Bencana negara itu pada Sabtu berkata, angka kematian meningkat daripada 88 individu minggu lalu kepada 166 individu.

Ia berdasarkan data di 24 wilayah daripada 34 wilayah di negara itu.

Pegawai agensi, Abdul Rahman Zahid dalam kenyataan video memaklumkan kematian itu berpunca daripada banjir, kebakaran dan kebocoran pemanas gas yang digunakan penduduk Afghanistan untuk memanaskan rumah mereka.

Kira-kira 100 rumah musnah atau rosak dan hampir 80,000 ternakan, iaitu komoditi penting bagi golongan miskin Afghanistan turut mati kesejukan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, sejumlah 17 individu meninggal dunia di sebuah kampung di timur laut wilayah Badakhshan akibat jangkitan pernafasan akut, minggu ini.

"Cuaca buruk menghalang bantuan tiba ke kawasan itu," kata WHO.

Afghanistan mengalami musim sejuk kedua sejak tentera sokongan Amerika Syarikat (AS) berundur, dan Taliban kembali ke Kabul bagi menuntut semula kerajaan.

Bantuan asing menurun secara mendadak sejak itu dan aset bank pusat utama dirampas oleh AS, menambahkan lagi krisis kemanusiaan yang dianggap sebagai antara terburuk di dunia.

Kerajaan Taliban melarang wanita Afghanistan bekerja dengan kumpulan kemanusiaan bulan lalu, menyebabkan ramai terpaksa menangguhkan operasi.

Pekerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita dalam sektor kesihatan kemudian diberikan pengecualian dan beberapa organisasi memulakan semula program mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 10:32 AM