TANGKAP layar video tular pacuan empat roda yang menghalang ambulans. FOTO Tular
TANGKAP layar video tular pacuan empat roda yang menghalang ambulans. FOTO Tular
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pemandu pacuan empat roda Toyota Hilux yang dipercayai menghalang laluan ambulans di Kilometer 226 Lebuhraya Utara Selatan dari arah Ayer Keroh ke Kuala Lumpur, 8 Januari lalu sudah diambil tindakan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kejadian berlaku kira-kira 12 tengah hari sebelum satu laporan polis dibuat pada 1 tengah hari yang sama oleh lelaki tempatan yang juga pemandu ambulans terbabit di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

"Pemandu Toyota Hilux iaitu seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun dikesan oleh Ketua BSPT IPD Rembau, Negeri Sembilan dan tindakan diambil mengikut Kaedah 9(2) LN166/59 iaitu tidak memberi laluan kepada kenderaan ambulans.

"Tindakan boleh dihukum mengikut Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemandu dikehendaki hadir di Mahkamah Rembau pada 20 Mac depan berkaitan kesalahan terbabit.

Katanya, berdasarkan keterangan pemandu Toyota Hilux itu, dia menyatakan tidak menyedari kenderaan di belakang kerana sedang berbual dengan ahli keluarganya.

"Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas yang menekankan kerjasama, berhemah dan berhati-hati ketika berada di atas jalan raya.

"Dalam Kaedah-Kaedah Lalulintas LN165/59 iaitu Kanun Lebuhraya ada menyatakan Peraturan 24 LN165/59. Apabila menghampiri apa-apa kenderaan kecemasan seperti polis, bomba atau ambulans, bunyi siren atau loceng, tatacara pemanduan mestilah masuk ke sebelah kiri atau kanan dan berhenti untuk memudahkan laluan kenderaan kecemasan," katanya.

Mohd Azman berkata, kerjasama adalah elemen penting yang perlu diketahui setiap pengguna jalan raya bagi melancarkan pergerakan lalu lintas.

Isnin lalu, satu rakaman video berdurasi seminit tular memaparkan sebuah Toyota Hilux dikatakan tidak memberi laluan kepada ambulans walaupun siren kecemasan dibunyikan beberapa kali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 4:50 PM