Theo Hernandez (tengah) meraikan kejayaan menewaskan Maghribi bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
Theo Hernandez (tengah) meraikan kejayaan menewaskan Maghribi bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
Agensi

Doha: Theo Hernandez menegaskan pasukannya tidak bimbang dengan penampilan Lionel Messi ketika Perancis melakukan persediaan berdepan Argentina pada final Piala Dunia, Ahad ini.

Juara bertahan itu mengesahkan tempat di final selepas kemenangan 2-0 berdepan pasukan yang penuh kejutan di Qatar, Maghribi.

Hernandez dan Randal Kolo Muani mencetak nama dalam senarai penjaring.

Pertembungan Messi dan Kylian Mbappe mula menjadi perhatian ramai menjelang perlawanan membabitkan dua rakan sepasukan di Paris Saint Germain itu bagi menjulang kejuaraan Piala Dunia.

Hernandez pemain pertahanan kelab Bayern Munich memberitahu RAI Sport: "Beraksi dua final Piala Dunia berturut-turut adalah detik menakjubkan. Kami melakukan tugas dengan baik, ia dengan cara yang sukar, tetapi kami tetap berada di final.

"Kami akan bekerja keras untuk menang final ini. Kini kami harus memikir mengenai final. Saya penat, tetapi adalah gembira untuk memenangi saingan separuh akhir Piala Dunia.

"Kini saya harus lekas pulih untuk Ahad. Messi tidak membimbangkan kami, Argentina pasukan yang bagus tetapi kami mempunyai beberapa hari untuk berlatih."

Messi diiktiraf antara pemain terbaik dalam kejohanan setakat ini dan dia mempamerkan aksi cemerlang ketika membantu pasukannya mengatasi Croatia pada separuh akhir semalam.

Penyerang berusia 35 tahun itu meledak penalti menarik untuk memastikan pasukannya mendahului dan mencipta gerakan untuk gol ketiga Argentina selepas larian solo memukau.

Selepas enam perlawanan bersama Argentina setakat ini, Messi dinamakan pemain terbaik dalam empat perlawanan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 9:29 PM