ANTARA keluarga yang meminta derma di TikTok.
ANTARA keluarga yang meminta derma di TikTok.
Agensi

Damsyik: Keluarga dari Syria yang kini menetap di sebuah kem pelarian di negara itu dilaporkan meminta derma menerusi aplikasi TikTok.

Namun, siasatan BBC mendakwa platform media sosial itu mengambil 70 peratus hasil daripada sumbangan berkenaan.

Menerusi penstriman langsung di platform terkenal itu, anak kecil dari keluarga berkenaan memohon bantuan daripada orang ramai, selama beberapa jam.

'Hadiah digital' yang diberikan pengikut akaun keluarga berkenaan akan ditukar menjadi tunai.

Berdasarkan pemantauan BBC, keluarga terbabit mampu memperoleh hadiah digital bernilai 900 pound sterling (kira-kira RM4,600) hanya dalam tempoh sejam.

Mona Ali Al-Karim dan enam anak perempuannya adalah antara keluarga yang melakukan penstriman di TikTok setiap hari.

"Tolong like (tanda suka), tolong kongsi, tolong beri hadiah," katanya.

Suami Mona terbunuh dalam serangan udara dan dia menggunakan penstriman langsung di TikTok untuk mengumpul wang bagi pembedahan untuk anak perempuannya Sharifa, yang buta.

TikTok bagaimanapun memaklumkan tindakan sewajarnya akan diambil atas kesalahan 'eksploitasi pengemis'.

Syarikat berkenaan berkata, kandungan penstriman seperti itu tidak dibenarkan dan berkata, komisen daripada hadiah digital adalah kurang daripada 70 peratus, namun enggan mengesahkan jumlah sebenar.

Awal tahun ini, pengguna TikTok mendapati aplikasi itu dipenuhi dengan penstriman langsung keluarga di kem Syria.

Keadaan itu mendapat perhatian umum namun ada yang khuatir ia adalah satu bentuk penipuan baharu.

Di kem di barat laut Syria, BBC mendapati trend itu diuruskan oleh individu yang menyediakan telefon dan peralatan kepada keluarga yang melakukan penstriman langsung.

Orang tengah itu memaklumkan keluarga di kem berkenaan bahawa dia bekerja dengan sebuah agensi yang bekerjasama dengan TikTok di China dan Timur Tengah.

Dia memberikan akses akaun platform itu kepada keluarga berkenaan.

Agensi berkenaan adalah sebahagian daripada strategi global TikTok untuk merekrut lebih ramai pencipta kandungan dan menggalakkan pengguna meluangkan lebih banyak masa menggunakan aplikasi itu.

Algoritma TikTok lebih cenderung dengan akaun yang menggunakan kad SIM United Kingdom, dan mengatakan orang dari United Kingdom (UK) adalah pemberi hadiah paling ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 11:09 AM