PISTOL yang dirampas. FOTO Agensi
PISTOL yang dirampas. FOTO Agensi
Agesni

New Delhi: Dua warga India ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di sini, semalam selepas membawa 45 pistol.

Seorang pegawai kastam berkata, pasangan suami isteri itu dikenali sebagai Jagjit Singh dan Jaswinder Kaur baru tiba ke India dari Ho Chi Minh City, Vietnam, pada 10 Julai.

Katanya, Jagjit ditangkap bersama pistol dalam dua beg troli yang didakwa diberikan abangnya, Manjit Singh.

"Manjit dilaporkan memberikan beg itu kepada Jagjit di Vietnam selepas mendarat di negara itu dari Paris, Perancis.

"Selepas menyerahkan beg, Manjit beredar dari lapangan terbang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan seperti dilaporkan portal NDTV.

Katanya, seorang penumpang wanita yang juga isteri Jagjit membantu suaminya mengeluarkan dan memusnahkan tag beg troli yang mengandungi senjata api itu.

"Pemeriksaan lanjut ke atas dua beg troli yang dibawa penumpang lelaki ini mengandungi 45 pistol pelbagai jenama yang mempunyai nilai anggaran kira-kira 22.5 lakh (kira-kira RM125,000).

"Kedua-dua suspek mengaku membawa 25 pistol ke India dari Turki sebelum ini," katanya.

Menurutnya, siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sama ada senjata itu asli atau tidak.

"Dalam laporan awal, Unit Antikeganasan Pengawal Keselamatan Negara (NSG) yang menyiasat kes itu mengesahkan senjata itu berfungsi sepenuhnya," katanya dipetik agensi berita PTI.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 7:01 AM