BOOPATHI akhirnya dapat membeli motosikal idamannya. FOTO YouTube Boopathi
BOOPATHI akhirnya dapat membeli motosikal idamannya. FOTO YouTube Boopathi
Agensi

New Delhi: Impian seorang lelaki di Tamil Nadu, India untuk membeli motosikal diinginkan sejak tiga tahun lalu akhirnya tercapai dan menariknya, dia membayarnya menggunakan wang syiling satu rupee berjumlah 2.6 lakh (kira-kira RM14,436).

Times of India melaporkan, V Boopathi, 29, yang juga seorang YouTuber berjaya membawa pulang motosikal model Bajaj Dominar 400 dari bilik pameran di Salem di sini, pada Sabtu.

Motosikal itu diserahkan kepada lelaki itu selepas lima kakitangan bilik pameran, bersama empat rakan Bhoopathy selesai mengira semua syiling itu.

Proses pengiraan syiling itu mengambil masa 10 jam.

Dia membawa duit syiling berkenaan dengan menaiki van ke bilik pameran.

Lelaki itu kemudian menggunakan kereta sorong untuk menghantar bungkusan mengandungi syiling itu kepada kakitangan premis berkenaan

Gambar yang dikongsi oleh agensi berita ANI di Twitter menunjukkan sepasukan kakitangan mengira syiling satu rupee.

Menurut Boopathi, dia bertanya harga motosikal impiannya itu sejak tiga tahun lalu.

"Harganya 2 lakh (kira-kira RM11,109) sebelum ini namun (saya) tidak mempunyai begitu banyak wang pada masa itu.

"Oleh kerana inginkannya, saya nekad menyimpan wang yang diperolehnya hasil daripada saluran YouTube untuk membeli Bajaj Dominor 400.

"Saya meyakinkan pengurus premis untuk menerima syiling satu rupee dan juga memberi jaminan untuk mengambil tanggungjawab menukarnya kembali kepada mata wang jika dia menghadapi sebarang kesulitan," kata Boopathi yang turut berkongsi video pengalaman beliau membeli motosikal berkenaan.

Difahamkan, pengurus jualan di bilik pameran kenderaan itu pada mulanya berat hati menerima bayaran dalam bentuk syiling.

Bagaimanapun, dia akhirnya mengalah kerana tidak mahu mengecewakan pelanggan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 7:15 AM