Pati warga Myanmar yang ditahan Polis Thailand. FOTO Agensi
Pati warga Myanmar yang ditahan Polis Thailand. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Bayar 40,000 baht atau RM5,089 setiap seorang untuk diseludup masuk dari Thailand ke Malaysia.

Bayaran itu dikenakan broker sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin (Pati) berpangkalan di Myanmar untuk menyeludup rakan senegaranya masuk ke Malaysia melalui Thailand.

Setiap Pati dilaporkan sekurang-kurangnya diarahkan membayar separuh caj berkenaan kepada broker terbabit di Myanmar sebelum mendapat akses untuk perkhidmatan disediakan sindiket terbabit.

Bangkok Post melaporkan, cubaan sindiket menyeludup 11 warga Myanmar di daerah Sadao dekat sempadan Thailand-Malaysia digagalkan polis di negara gajah putih itu.

Komander pasukan tentera, Kolonel Thanitphon Hongwilai berkata, sebuah pasukan terdiri daripada askar, polis kawalan sempadan dan anggota imigresen menemukan sembilan lelaki dan dua wanita sedang bersembunyi di sebuah kawasan hutan di Kampung Dan Nok, Jumaat lalu.

"Kesemua mereka merupakan Pati dari Myanmar. Kumpulan pendatang haram itu kelihatan lesu ketika ditemukan. Mereka yang ditahan dibawa menjalani ujian saringan Covid-19 dan kesemuanya negatif," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, ketika soal siasat, Pati terbabit memaklumkan mereka memulakan perjalanan dari bandar Mawlamyine di Myanmar dan ingin memasuki Malaysia bagi mendapatkan pekerjaan.

"Mereka membayar 40,000 baht (RM5,089) setiap seorang dan menyerahkan separuh bayaran kepada broker di Myanmar terlebih dahulu. Baki bayaran perlu dijelaskan sebaik sahaja mereka tiba di Malaysia," katanya.

Katanya, kumpulan terbabit turut memaklumkan mereka menyeberangi sempadan (Thailand-Myanmar) melalui lintasan sempadan semula jadi dengan berjalan.

"Sejurus melintasi sempadan, lelaki dan wanita itu diarah untuk menanti trak pikap yang akan membawa mereka ke Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 1:02 PM