FOTO fail 2018 menunjukkan Jae-in (dua dari kanan) dan Jong-un (dua dari kiri) bersama pasangan masing-masing bergambar pada pertemuan di Gunung Paektu, Korea Utara. FOTO Reuters
FOTO fail 2018 menunjukkan Jae-in (dua dari kanan) dan Jong-un (dua dari kiri) bersama pasangan masing-masing bergambar pada pertemuan di Gunung Paektu, Korea Utara. FOTO Reuters
Agensi

Pyongyang: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un bertukar surat dengan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in disifatkan perkembangan positif jarang berlaku antara kedua-dua negara.

Portal Al-Jazeera melaporkan, Jae-in menghantar surat kepada Jong-un awal minggu ini dan berkata, beliau akan terus berusaha ke arah penyatuan Korea selepas bersara.

Sebagai balasan, Jong-un mengucapkan terima kasih kepada Jae-in atas usaha murni bagi kebaikan dua negara itu.

Jong-un berkata, usaha bersama mereka memberinya harapan untuk masa depan dan berharap hubungan antara Korea akan bertambah baik.

Korea Selatan mengesahkan pemimpin tertinggi dua negara itu bertukar surat pada Jumaat.

Pertukaran surat berlaku pada masa yang tegang di Semenanjung Korea.

Imej satelit menunjukkan penggalian baharu di tapak ujian nuklear di Punggye-ri, menunjukkan Pyongyang mungkin memperbaharui aktiviti nuklear selepas menutup tapak itu, pada 2018.

Korea Utara juga menguji senjata berpandu taktikal baharu pada hujung minggu lalu, susulan dengan ulang tahun kelahiran pengasas negara berkenaan, Kim Il Sung, pada akhir Mac lalu.

Ia sekali gus melanggar moratorium ujian peluru berpandu balistik antarabangsa selama empat tahun.

Penganalisis berkata, mungkin terdapat lebih banyak ujian sekitar 25 April apabila Pyongyang meraikan penubuhan Tentera Rakyat Korea.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 6:45 AM