KIM Jong-Un umum akan hentikan ujian peluru berpandu balistik nuklear dan memerintahkan penutupan tapak ujian atom milik Korea Utara. - EPA-EFE
KIM Jong-Un umum akan hentikan ujian peluru berpandu balistik nuklear dan memerintahkan penutupan tapak ujian atom milik Korea Utara. - EPA-EFE
AFP

Seoul: Pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un berjanji menghentikan semua ujian nuklear dan peluru berpandu antara benua menjelang pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Jong-Un membuat pengumuman itu tidak sampai seminggu selepas beliau bertemu Presiden Korea Selatan Moon Jae-In dalam persidangan di Zon Bebas Tentea yang memisahkan kedua-dua negara di Semenanjung Korea itu.

Namun, Jong-Un tidak menyebut mengenai penghapusan simpanan senjata nuklear negara itu atau peluru berpandu yang boleh sampai ke wilayah AS.

Dalam pengumumannya, beliau juga memerintahkan penutupan tapak ujian atom milik Korea Utara.

Deklarasi terbabit yang sekian lama dinantikan AS dianggap amat penting dari aspek hubungan diplomatik di Semenanjung Korea serta negara lain di sekitarnya.

“Memandangkan aspek persenjataan senjata nuklear ini sudah disahkan, kita tidak lagi perlu melaksanakan sebarang ujian nuklear atau peluru berpandu jarak sederhana, jarak jauh atau ICBM.

“Misi ujian nuklear Korea Utara berjaya disempurnakan,” katanya pada perhimpunan jawatankuasa pusat Parti Pekerja, seperti dilaporkan agensi berita KCNA.

Pyongyang melaksanakan pembangunan pesat senjata menyebabkan negara itu dikenakan sekatan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC), AS, Kesatuan Eropah, Korea Selatan dan beberapa negara lain.

Tahun lalu negara berkenaan melancarkan ujian nuklear keenam yang dianggap terbesar setakat ini serta melancarkan ujian peluru berpandu yang berkeupayaan terbang sehingga ke wilayah AS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 5:23 AM