Tokyo: Gegaran sekuat 5.1 magnitud yang dirasai di Semenanjung Korea pagi tadi bukan gempa bumi sebaliknya ujian nuklear Korea Utara yang mendakwa meletupkan bom hidrogen di tapak ujian nuklearnya di Punggye-ri, utara negara itu.

Berikutan itu, jiran Korea Utara, termasuk Korea Utara, Jepun dan China mengecam Pyongyang kerana dianggap mengancam keselamatan rantau berkenaan.

Televisyen Korea Utara menyiarkan pengumuman: “Ujian bom hidrogen pertama republik (Korea Utara) berjaya dilaksanakan pada 10 pagi (0130 GMT).

“Berikutan kejayaan bersejarah H-bom itu, kita kini menyertai senarai negara nuklear yang maju.”

Siaran itu menyatakan bom hidrogen yang diletupkan itu lebih kecil untuk tujuan ujian berbanding saiz bom sebenar.

Ia menunjukkan dokumen kebenaran yang ditanda tangan Presiden Korea Utara, Kim Jong-Un, bertarikh 15 Disember lalu, untuk ujian berkenaan.

Ia adalah ujian letupan bom nuklear keempat Korea Utara selepas ujian pada 2006, 2009 dan 2013 yang menyebabkan PBB mengenakan sekatan.

Bom hidrogen atau thermonuklear menghasilkan letupan lebih besar berbanding bom nuklear yang hanya menggunakan uranium atau plutonium. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 4:33 PM