KIM Jong-Un (kiri) dan Donald Trump. FOTO AFP/KCNA
KIM Jong-Un (kiri) dan Donald Trump. FOTO AFP/KCNA
AFP

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi amaran semalam, sidang kemuncak bersejarah antara beliau dengan Kim Jong-un mungkin ditangguhkan, namun menegaskan pemimpin Korea Utara itu ‘serius’ menamatkan program senjata nuklearnya.

Menerima kunjungan Presiden Korea Selatan Moon Jae-in di Rumah Putih, Trump bagaimanapun tidak menolak spekulasi berhubung prospek gagal pertemuan bersejarah pertama antara pemimpin AS dan Korea Utara berkenaan.

“Ia mungkin tidak berlaku 12 Jun ini. Jika ia berlaku, mungkin kemudian. Ada beberapa syarat yang kami mahu ia dilaksanakan. Saya fikir kami akan memperolehnya. Jika tidak, kami tidak akan mengadakan pertemuan itu,” kata Trump mengenai pertemuan di Singapura.

Dari segi politik, Trump banyak menyumbang untuk kejayaan pertemuan, justeru majoriti pegawai AS serta pemerhati luar, secara peribadi menjangka ia akan diteruskan.

Namun ketika tarikh itu semakin hampir, perbezaan pendapat antara Trump dan pembantu atasannya serta kedua pihak dan kepentingan tinggi antara keduanya agak ketara.

Kejayaan pertemuan itu menjurus perdamaian di Semenanjung Korea dan menamatkan ancaman membara nuklear. Kegagalan pula sebaliknya memusnahkan harapan terhadap penyelesaian damai dalam krisis itu.

“Anda tidak pernah tahu mengenai perjanjian. Saya banyak membuat perjanjian. Anda tidak pernah tahu,” kata Trump.

Kesediaan Korea Utara menamatkan program senjata nuklear, asas rundingan keduanya baru-baru ini terjerumus ke kancah tidak pasti apabila kerajaan Pyongyang mengecam tuntutan AS supaya ‘menghentikan program senjata secara sebelah pihak.’

Pyongyang juga membatalkan pertemuan peringkat tinggi saat akhir dengan Korea Selatan sebagai membantah latihan ketenteraan bersama antara Seoul dan Washington.

Walaupun tindakan Pyongyang itu, Trump berkata, beliau yakin Jong-un bersedia menghentikan program nuklearnya.

“Saya fikir beliau serius. Saya fikir beliau amat amat serius,” kata Presiden AS itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 7:06 PM