PESAWAT Sri Lanka Airlines. FOTO fail AFP
PESAWAT Sri Lanka Airlines. FOTO fail AFP
AFP

Colombo: Di sebalik krisis ekonomi dialami Sri Lanka, syarikat penerbangan nasional negara itu mendedahkan rancangannya semalam untuk membuat pajakan ke atas 21 pesawat.

Syarikat penerbangan Sri Lanka Airlines milik kerajaan itu berkata, pihaknya berhasrat menambah pesawat daripada 24 kepada 35 pesawat dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Katanya, rancangan itu termasuk menggantikan beberapa jet yang sudah usang.

"Sri Lanka Airlines mengeluarkan empat permintaan untuk cadangan menyewa sehingga 21 pesawat bagi menyokong strategi perniagaan jangka panjang," kata syarikat itu dalam satu kenyataan ringkas.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu tidak menyatakan bagaimana ia akan membiayai pajakan dengan keadaan hutang bernilai AS$1.7 bilion (RM7.20 bilion) dan kerugian dibawa ke hadapan sebanyak AS$1.56 bilion (RM6.60 bilion) pada Mac 2020.

Pengumuman itu dibuat selepas kerajaan menggantung pembayaran balik semua pinjaman asing menjelang rundingan penstrukturan semula hutang bernilai AS$51 bilion (RM215.91 bilion) dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) minggu depan.

Pada hari sama pengumuman itu, agensi penarafan antarabangsa Fitch menurunkan taraf AS$175 juta (RM740.86 juta) dalam bon yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan itu daripada C kepada CC, menunjukkan syarikat penerbangan itu hampir gagal membayar hutang.

Sebelum ini, IMF berulang kali menggesa Sri Lanka untuk menswastakan syarikat penerbangan itu dengan mengatakan ia adalah 'gajah putih' yang negara itu tidak mampu untuk tanggung.

Negara kepulauan itu berada dalam krisis ekonomi terburuk sejak merdeka pada 1948 dengan kekurangan barangan keperluan yang teruk.

Pihak berkuasa sedang berdepan kemarahan orang ramai dan protes menuntut peletakan jawatan kerajaan sebelum rundingan dengan IMF.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 10:38 AM