GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Reuters

Colombo: Syarikat penerbangan nasional Sri Lanka menyalahkan seekor tikus kerana menyebabkan pesawatnya terkandas selama tiga hari.

Malah, kelewatan itu mencetuskan huru-hara dan kebimbangan dalam kalangan pelabur syarikat penerbangan berkenaan yang sememangnya kekurangan modal.

Seekor tikus dikesan ketika pesawat Airbus A330, SriLankan Airlines itu dalam penerbangan dari bandar Lahore di Pakistan pada Khamis.

Susulan itu, usaha mencari tikus dilakukan segera bagi memastikan ia tidak mengunyah komponen kritikal.

Seorang pegawai syarikat penerbangan berkata pesawat itu kini sudah menyambung semula penerbangan, tetapi insiden itu mengganggu keseluruhan jadual penerbangan.

"(Penerbangan) Pesawat itu digantung selama tiga hari di Colombo. Pesawat tidak boleh diterbangkan tanpa memastikan tikus itu sudah ditangkap.

"Apa pun tikus itu sudah ditemukan mati," kata seorang pegawai syarikat penerbangan, yang enggan dinamakan.

Syarikat penerbangan milik kerajaan itu mencatatkan kerugian terkumpul lebih daripada AS$1.8 bilion (kira-kira RM8.57 bilion) pada akhir Mac 2023.

Tiga daripada pesawatnya yang digantung penerbangan lebih setahun daripada 23 pesawat mereka ada.

Menteri Penerbangan Nimal Siripala de Silva memberitahu pemberita, tikus sesat itu mungkin menakutkan segelintir pelabur yang berminat untuk mengambil alih syarikat penerbangan yang dibebani hutang itu.

Kerajaan cuba menjualnya namun tidak berjaya, malah kerajaan terdahulu menawarkan syarikat penerbangan itu untuk satu dolar, tetapi tidak ada berminat untuk mengambil alih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 2:54 PM