SERPIHAN pesawat dilihat di lokasi nahas di wilayah Guangxi di selatan China. FOTO China Daily/ Reuters
SERPIHAN pesawat dilihat di lokasi nahas di wilayah Guangxi di selatan China. FOTO China Daily/ Reuters
Reuters

Beijing: Pasukan penyelamat meneruskan pencarian di pergunungan di wilayah Guangxi di selatan China, untuk mencari mangsa yang terselamat dalam nahas pesawat China Eastern Airlines.

Sebahagian daripada jet Boeing 737-800 itu ditemukan, pada Isnin, berselerak di lereng gunung, nahas pertama membabitkan pesawat komersial China sejak 2010.

Penerbangan MU5735 itu sedang dalam perjalanan dari bandar barat daya Kunming, ibu kota wilayah Yunnan, ke Guangzhou di wilayah Guangdong, bersempadan dengan Hong Kong, apabila ia tiba-tiba menjunam dan terhempas.

Media China menunjukkan pesawat menjunam ke tanah di belakang pokok pada sudut kira-kira 35 darjah secara menegak.

Bagaimanapun, Reuters tidak dapat mengesahkan rakaman itu.

Satu pasukan pengawal selia penerbangan China dikerahkan ke lokasi nahas, bersama pasukan penyelamat bomba dan tentera tempatan.

Naib Perdana Menteri Liu He berlepas ke bandar Wuzhou di Guangxi, pada malam Isnin, untuk menyelia usaha menyelamat dan siasatan selepas mesyuarat tergempar kerajaan.

Kabinet berkata, ia akan menugaskan pegawai untuk menangani kemalangan itu sebagai keutamaan, mengenal pasti punca secepat mungkin, dan melakukan penyiasatan keselamatan dalam sektor penerbangan awam untuk memastikan keselamatan operasi dan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 7:00 AM