WANG berkongsi kisahnya di WeChat. FOTO Agensi
WANG berkongsi kisahnya di WeChat. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Seorang wanita di China tidak bernasib baik apabila terkandas di rumah teman janji temunya yang baru dikenali kerana kawasan itu dikenakan sekatan pergerakan Covid-19.

Wanita itu dikenali sebagai Wang, berkongsi pengalaman janggalnya terkandas di rumah lelaki itu menerusi WeChat.

Katanya, dia baru pulang ke Zhengzhou dari Guangzhou untuk menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarganya.

"Saya semakin tua, jadi ibu bapa saya mengatur lebih 10 blind date untuk saya.

"Lelaki kelima pandai masak dan mengajak saya ke rumah untuk mencuba masakannya.

"Namun, ketika makan, saya dapati kawasan itu dikenakan sekatan pergerakan kerana kes Covid-19 yang menyebabkan saya akhirnya terkandas di rumah itu selama empat hari," katanya seperti dilaporkan BBC News.

Katanya, setiap hari lelaki itu memasak untuk mereka berdua namun dia bukan jenis banyak bercakap.

Bagaimanapun, tiada maklumat sama ada wanita itu masih terkandas di rumah lelaki itu mahupun sudah pulang ke rumah keluarganya.

Global Times melaporkan, lebih 100 kes Covid-19 direkodkan di Zhengzhou dalam tempoh minggu lalu.

Perniagaan tidak penting di bandar itu diarahkan tutup pada Selasa dan ujian saringan besar-besaran dilakukan ke atas 12.6 juta penduduk.

China mengekalkan strategi sifar Covid dalam usaha untuk menghapuskan penularan virus itu, berbanding menerima hakikat bahawa virus itu tidak akan lenyap dalam masa terdekat.

Ia meliputi ujian saringan berskala besar, sekatan pengangkutan, pemantauan ketat, pengesanan kontak dan sekatan pergerakan bersasar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 7:01 AM