UJIAN saringan Covid-19 di Zhengzhou. FOTO Reuters
UJIAN saringan Covid-19 di Zhengzhou. FOTO Reuters
Agensi

Beijing: Hampir 13 juta penduduk di bandar Zhengzhou, China, diarahkan menjalani ujian Covid-19 pada Rabu selepas jangkitan dikesan ketika China berjuang untuk menghapuskan virus itu menjelang Olimpik Musim Sejuk.

AFP melaporkan penduduk diletakkan di bawah sekatan pergerakan separa dan wajib menjalani ujian untuk mengetahui status kesihatan secara menyeluruh, kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan.

Zhengzhou mencatatkan 11 kes dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Perintah ujian besar-besaran itu dibuat ketika bilangan kes di bandar Xi'an turun ke paras terendah dalam beberapa minggu, dengan pegawai mengesahkan keadaan sudah terkawal.

Seramai 13 juta penduduk di Xi'an berada dalam sekatan sejak dua minggu lalu.

"Walaupun bilangan kes meningkat selama beberapa hari, peningkatan pesat dalam penyebaran Covid-19 di peringkat komuniti dapat dikawal berbanding ketika peringkat awal wabak itu," kata Timbalan Pengarah Suruhanjaya Kesihatan Wilayah Shaanxi, Ma Guanghui.

China tampil dengan pendekatan tegar untuk menghapuskan kes Covid-19 dengan sekatan sempadan yang ketat dan penutupan bersasar sejak kewujudan virus negara itu pada 2019.

Tetapi, dengan kurang daripada sebulan lagi menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk, beberapa kes jangkitan di seluruh negara meletakkan negara itu di bawah tekanan.

Walaupun jumlah kes yang dilaporkan di China sangat rendah berbanding dengan negara lain, jangkitan dalam beberapa minggu kebelakangan ini mencapai tahap tertinggi di negara itu sejak Mac 2020.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 10:26 AM