FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

New Delhi: Mengejutkan apabila seorang lelaki di India yang disahkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya didapati masih bernafas walaupun semalaman diletakkan dalam peti sejuk di bilik mayat hospital.

Srikesh Kumar dikejarkan ke klinik kerana keadaannya kritikal akibat dilanggar sebuah motosikal di timur ibu negara, Moradabad.

Lelaki itu kemudiannya dipindahkan ke sebuah pusat perubatan swasta sebelum disahkan doktor dia meninggal dunia.

Mangsa kemudian dipindahkan ke hospital kerajaan untuk bedah siasat pada Jumaat.

Superintendan perubatan, Rajendra Kumar berkata, pegawai perubatan unit kecemasan menjalankan pemeriksaan ke atas tubuh badan lelaki.

"Dia (pegawai itu) tidak menemui sebarang tanda (mangsa) bernyawa dan mengesahkan lelaki itu meninggal dunia," katanya kepada AFP.

Doktor itu berkata, maklumat itu diberikan kepada polis sebelum 'mayat' lelaki itu diletakkan di peti sejuk sehingga keluarganya menuntutnya enam jam kemudian.

"Apabila pasukan polis dan keluarganya datang untuk memulakan proses dokumen bedah siasat, dia didapati masih bernyawa.

"Lelaki berusia 45 tahun itu menjalani rawatan lanjut tetapi masih lagi dalam keadaan koma.

"Ini satu keajaiban," katanya.

Dalam pada itu, siasatan masih dijalankan untuk menentukan bagaimana doktor berkenaan tersilap mengesahkan kematian lelaki itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 11:25 AM