DAGING dugong memberi manfaat untuk menyihatkan badan. FOTO Agensi
DAGING dugong memberi manfaat untuk menyihatkan badan. FOTO Agensi
Agensi

Jakarta: Yakin bahawa daging dugong memberi manfaat untuk menyihatkan badan dan menyembuhkan penyakit, sekumpulan penduduk Indonesia bertindak memotong daging haiwan itu yang ditemukan mati.

Portal Kompas melaporkan insiden itu berlaku Dusun Tihu, Pulau Kelang, Maluku.

"Dagingnya dimasak lalu dimakan kerana ia dianggap sebagai ubat dan boleh menyihatkan badan," kata seorang penduduk Dusun Tihu, Muhamad Aswin.

Difahamkan, insiden itu berlaku selepas seekor dugong dengan anggaran berat 100 kilogram (kg) ditemukan terdampar di pantai di pulau berkenaan.

Ketika ditemukan, penduduk mendapati ia masih hidup tetapi ada luka pada bahagian kepala haiwan itu yang disyaki akibat terlanggar karang.

Penduduk terbabit kemudian mengangkat hidupan itu sebelum melepaskannya ke laut namun ia mati tidak lama kemudian.

Disebabkan itu, dugong itu dipotong dan dibahagikan kepada penduduk.

"Ia dipotong lalu dagingnya dibahagikan kepada penduduk untuk dimasak," kata Aswin.

Maklumat mengenai dugong yang terdampar diketahui oleh Balai Konservasi Sumber Daya Alam (BKSDA) Maluku.

Petugas mengakui tidak melakukan pemantauan di lokasi ketika insiden itu terjadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 6:31 AM