FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Srinagar: Kerajaan India mengarahkan pihak berkuasa di Kashmir untuk mengharamkan penyembelihan semua jenis haiwan di wilayah yang majoritinya Muslim itu, pada perayaan Aidiladha.

Perintah itu dikeluarkan oleh kerajaan pusat pada Khamis dan dijangka menyebabkan ketegangan di wilayah berkenaan, sejak New Delhi menarik balik status autonomi istimewa kepada Kashmir, pada Ogos 2019.

Wilayah di Himalaya itu terbahagi kepada kawasan milik India dan Pakistan, dengan kerajaan di New Delhi memperhebat kawalan sejak ia ditadbir secara langsung di bawahnya.

Memetik undang-undang kebajikan haiwan, Lembaga Kebajikan Haiwan India mengarahkan polis dan pihak berkuasa mengambil 'semua langkah diperlukan' untuk menghentikan 'pembunuhan haiwan dan mengambil tindakan tegas kepada pelaku'.

Lembu dianggap suci oleh kebanyakan Hindu dan penyembelihan haiwan itu diharamkan di wilayah itu dan banyak lagi negeri di India.

Perintah baharu itu bagaimanapun meliputi semua jenis haiwan untuk pertama kali.

Penganut Islam lazimnya menyembelih kambing, biri-biri atau lembu untuk Hari Raya Aidiladha.

Dalam pada itu, gabungan majlis agama di Kashmir, Muttahida Majlis-e-Ulema, tidak bersetuju dengan perintah itu.

Cuti sempena Aidiladha tahun ini adalah antara 21 hingga 23 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 3:32 PM