GONDOLA kereta kabel yang membawa pengunjung ke kawasan lebih tinggi untuk melihat salji.
GONDOLA kereta kabel yang membawa pengunjung ke kawasan lebih tinggi untuk melihat salji.
PEMANDANGAN salji memutih di pergunungan Himalaya.
PEMANDANGAN salji memutih di pergunungan Himalaya.
Rashidah Ibrahim


Sebut saja India, satu-satunya destinasi yang ingin penulis kunjungi adalah Taj Mahal di Agra, Delhi. Namun apabila pakej percutian yang ditempah memasukkan Kashmir sebagai destinasinya untuk dilawati, saya akur.

Apatah lagi apabila diberitahu kawasan itu berbeza dengan suasana di India dan sangat menarik untuk dikunjungi.

Menjelang beberapa bulan sebelum tarikh berangkat, tersiar berita Kashmir dilanda kekacauan, menyebabkan jadual lawatan sedikit berubah iaitu ke kawasan tanah tinggi, Simla.

Majoriti peserta cuak dengan berita pergolakan di Kashmir dan ingin membatalkan tempahan perjalanan di peringkat awal.

Kami bernasib baik menjelang tarikh pemergian, kekacauan di Kashmir reda dan jadual perjalanan kembali kepada asal, dimulai lawatan Kashmir, diikuti Delhi dan Agra.

Kashmir sebuah wilayah kecil di barat laut benua kecil India. Terletak antara Banjaran Himalaya dan Banjaran Pir Panjal di kawasan paling utara negara India.

Namanya daripada dua perkataan, ‘Ka’ membawa maksud air sementara ‘Shimir’ bererti yang dikeringkan. Oleh itu Kashmir membawa maksud lembah yang dikeringkan airnya.

Wilayah pelancongan yang mempunyai tarikan tersendiri, Kashmir menjadi rebutan hingga ia dipecahkan di bawah tiga pentadbiran. Wilayah Kashmir meliputi Jammu dan Kashmir serta Ladakh ditadbir India.

Kawasan utara dan Azad Kashmir dikuasai Pakistan sementara rantau Aksai Chin serta Laluan Trans-Karakoram ditadbir China. Namun India dan Pakistan tidak mengiktiraf pemilikan kawasan antara satu sama lain.

Menurut pemandu pelancong yang memperkenalkan diri sebagai Farouk, tiga kelebihan yang membuat India mahupun Pakistan enggan melepaskan wilayah Kashmir adalah industri pelancongannya, muka bumi yang subur untuk kegiatan pertanian serta sumber jana kuasa elektrik yang berpusat di situ.

Sumber utama ekonomi adalah pelancongan. Rata-rata penduduknya fasih berbahasa Inggeris, memudahkan komunikasi dengan pelancong asing.

Dihuni majoriti penduduk Islam, makanan halal yang mudah didapati dan rupa paras orang Kashmir yang berkulit putih serta keistimewaan alam semula jadi menjadi tarikan.

Jadual utama di Kashmir adalah lawatan ke kawasan pelancongan Banjaran Himalaya, pertama di Gulmarg dan kedua di Sonamarg, pada hari berasingan.

Dalam perjalanan ke Gulmarg kami singgah sebentar di Heritage Mughal Garden, di Nishat. Ia kelompok taman dibina Maharaja Mughal bercirikan seni bina Islam, dipengaruhi Taman Parsi menerusi struktur Charbagh (taman).

Landskapnya menampilkan latar bujur sangkar dibina dalam kandang dinding berhias kolam, air pancuran dan terusan.

Kami sampai di Gulmarg menjelang tengah hari. Gulmarg adalah stesen bukit, destinasi sukan ski yang popular di daerah Baramula dalam Jammu dan Kashmir. Kedudukannya di Banjaran Pir Panjal di Barat Himalaya, pada altitude 2,650 meter, 56 km dari Srinagar.

Tanah Gulmarg diliputi kesan glasier di permukaan kawasan yang terbentuk daripada pelbagai jenis batuan. Suasana menarik dengan iringan tasik kecil, berlatarkan hutan pain dan fir, sekali gus mewujudkan panorama taman alam semula jadi.

Pengalaman tidak dapat dilupa ketika menapak ke kawasan salji, biarpun permukaan tanah landai, pernafasan tercungap-cungap dan kaki semakin berat untuk melangkah kerana perbezaan tekanan udara.

Namun kami gagahkan juga untuk sampai ke tempat bermain ski. Boleh bayangkan betapa perit memanjat gunung bersalji.

Puas merakam gambar, menapak turun semula ke stesen Gondola. Untuk sampai ke kawasan bersalji, perlu menaiki kereta kabel berkenaan. Terdahulu kami beramai-ramai menaiki kuda diiringi gembalanya ke stesen pertama Gondola.

Kesokannya kami berkunjung pula ke satu lagi kawasan bersalji iaitu di Sonarmag. Diterjemahkan ‘Meadow of Gold,’ ia adalah stesen bukit di daerah Ganderbal di India, juga dalam wilayah Jammu dan Kashmir. Di situ letaknya glasier Himalaya yang tersohor di Lembah Kashmir dikenali, Glasiar Kolhoi dan Glasiar Machoi, di kemuncak 5,000 meter.

Destinasi pelancongan popular ini berkedudukan pada altitude 2,800 meter dari paras laut. Saya dan beberapa peserta sekali lagi menunggang kuda untuk sampai ke kaki bukit, hampir sejam. Pemandangan sekitarnya sangat indah.

Perjalanan ke Sonamarg dari bandar Kashmir, diiringi panorama perkampungan sepanjang Nallah Sindh, anak sungai terbesar di Sungai Jehlum.

Lembah Kashmir 97 km pada musim sejuk menampilkan pemandangan bukit, cerun dan gaung serta padang kering.

Kashmir sejak zaman silam juga terkenal sebagai pengeluar bulu kambing cashmere yang dieksport ke seluruh dunia selain kraftangan seperti selendang, permaidani sutera, permaidani tebal dan tembikar sementara Srinagar, adalah pusat barangan perak, gam, ukiran kayu serta tenunan sutera.

Empat hari di Kashmir, jadual berjalan lancar, kekecewaan melanda apabila penerbangan Srinagar ke Delhi dijadual sekitar 12 tengah hari dibatal kerana halangan cuaca dan kabus tebal.

Lewat petang esoknya barulah kami sampai di Delhi, menaiki Go Air melalui Mumbai. Maka hilang sehari jadual lawatan, sekali gus merosakkan rancangan ke Taj Mahal. Esoknya Jumaat, pelancong tidak dibenar masuk namun kami sempat melawat Kubu Agra, sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Juga dikenali Lal Qila, Kubu Pemerah Pipi dan Kubu Merah, letaknya 2.5km ke barat laut Taj Mahal. Sempat melawat sekitar sejam, kami bergegas ke Lapangan Terbang Delhi untuk pulang ke Malaysia.

Namun kesesakan lalu lintas teruk menghalang perjalanan sehingga kami sampai tidak mengikut jadual. Terpaksa tunggu dua hari lagi untuk pulang.

Pada hari terakhir, sempat singgah di Masjid Jamma di Central Delhi, salah satu masjid terbesar di India dibina Shah Jahan di samping melawat Gerbang India, monumen nasional India di tengah kota New Delhi, lebih dikenali ‘Tugu Peringatan Perang Seluruh India.’

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 10:58 AM