Datuk Hishamuddin Hashim (tengah) menunjukkan surat aduan selepas menyertai mangsa yang berusia 33 tahun untuk menyerahkan surat aduan itu kepada Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Kesihatan, N Balasundaram di pekarangan lobi Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini. FOTO BERNAMA
Datuk Hishamuddin Hashim (tengah) menunjukkan surat aduan selepas menyertai mangsa yang berusia 33 tahun untuk menyerahkan surat aduan itu kepada Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Kesihatan, N Balasundaram di pekarangan lobi Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan siasatan segera terhadap pengamal perubatan palsu yang dipercayai warga asing dan premis kecantikan miliknya yang beroperasi di ibu negara serta Johor.

Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata hal itu susulan kejadian yang menimpa seorang mangsa yang menjalani pembedahan payudara membabitkan kos sebanyak RM23,400 pada 21 Jun 2022.

Hishamuddin berkata mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Alice mengalami kesakitan selepas terperdaya untuk melakukan pembedahan di pusat perkhidmatan perubatan estetik tanpa lesen serta tidak bertauliah itu akibat tertarik dengan tawaran di media sosial.

"Selepas merujuk kepada beberapa agensi berkaitan kami menemukan jalan buntu dan kami tidak mempunyai pilihan dan hari ini kami merujuk kepada Menteri Kesihatan supaya meneliti kes ini.

"Apa yang kami mahu adalah suatu siasatan dan tindakan supaya pengamal perubatan palsu yang juga warga asing ini dikenakan tindakan, disiasat, ditangkap dan didakwa kerana secara terang-terangan telah menjalankan aktiviti yang sepatutnya dijalankan oleh pengamal perubatan yang berlesen," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai mangsa yang berusia 33 tahun itu untuk menyerahkan surat aduan kepada Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Kesihatan, N Balasundaram di pekarangan lobi KKM di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa telah membuat aduan kepada Persatuan Perubatan Malaysia, Bahagian Amalan Perubatan Swasta KKM dan Polis Diraja Malaysia pada tahun lepas, namun tiada tindakan diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 4:49 PM