FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Amir Mamat


Melaka: Kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka membenarkan aktiviti ibadat korban dilaksanakan di negeri ini sempena Aidiladha, bulan depan.

Mufti Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan kepada semua penganjur aktiviti berkenaan.

Beliau berkata, pelaksanaan ibadat korban dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah dibenarkan kecuali kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), namun ia bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa negeri atas nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ibadat korban semasa PKP hanya boleh dilaksanakan di empat lokasi yang dibenarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) iaitu di Kompleks Abatoir Jasin, Kompleks Abatoir Alor Gajah, pusat ternakan haiwan milik Abdullah Sulaiman di Bukit Tembakau dan pusat ternakan haiwan milik Md Yusni Abu Bakar di Sungai Putat di sini.

"DVS bersama pihak berkuasa agama negeri juga menawarkan pusat penyembelihan sementara di kandang ternakan yang mempunyai kemudahan kawasan sembelih atau masjid, surau atau institusi yang mempunyai kawasan lapang dan kemudahan untuk aktiviti penyembelihan serta melapah daging," katanya pada sidang media di lobi Pusat Islam Melaka, Bukit Palah di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya juga menetapkan, haiwan ternakan seperti lembu, kerbau, kambing dan biri-biri perlu menepati syarat korban ditetapkan syarak.

Manakala bilangan haiwan yang dibenarkan korban adalah lima ekor lembu serta 10 ekor kambing sehari.

"Semua ketetapan itu terpakai selama empat hari bermula 10 sehingga 13 Zulhijjah (hari Tasyrik)," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, aktiviti penyembelihan di tempat sembelihan sementara perlu mendapat kebenaran DVS dan peserta yang mengambil bahagian dalam program korban berkelompok pula digalakkan untuk mewakilkan sembelihan kepada penyembelih atau wakil yang dilantik sebelum korban dilaksanakan.

Katanya, proses penyembelihan, melapah dan keratan asas pula perlu dilaksanakan di lokasi penyembelihan sahaja manakala proses menyiang dan membungkus daging hendaklah dibuat di tempat lapang dengan menghindari '3S' iaitu sesak, sempit dan sembang dekat.

"Pengagihan daging korban hendaklah dibuat secara pandu lalu atau penghantaran rumah ke rumah oleh petugas yang ditetapkan.

"Semua penganjur perlu merekodkan kehadiran melalui aplikasi MySejahtera atau buku rekod kehadiran selain memeriksa suhu badan, memakai pelitup muka, sarung tangan, penjarakan sosial dan penyediaan tanda had pergerakan," katanya.

Kanak-kanak di bawah 12 tahun serta pesakit kronik tidak dibenarkan hadir ke lokasi selain hanya 25 pekerja yang dibenarkan berada di lokasi aktiviti ibadat itu diadakan.

Pihak berkuasa seperti polis, DVS, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan memantau pelaksanaan ibadat korban di semua lokasi bagi memastikan SOP sentiasa dipatuhi.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 3:47 PM