Boo Cheng Hau
Boo Cheng Hau
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pimpinan DAP Johor mempersoalkan langkah beberapa pihak yang berterusan membantah pengambilan pelajar bukan Bumiputera untuk memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ahli Jawatankuasa DAP Johor Dr Boo Cheng Hau, turut mempersoalkan langkah bantahan termasuk dibuat penuntut UiTM yang didakwa menyamai tindakan pelajar kulit putih di Selatan Amerika Syarikat yang membantah pengambilan pelajar kulit hitam pada 1960-an.

Dr Boo yang juga bekas Pengerusi DAP Johor berkata, mengikut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, termaktub bahawa 'kuota yang munasabah' ditetapkan untuk orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang lain, sambil melindungi 'hak sahih' kumpulan etnik lain.

"Adakah pelajar UiTM kini yang membantah pengambilan pelajar bukan Bumiputera berbeza dengan pelajar kulit putih di Selatan Amerika Syarikat yang membantah pengambilan pelajar berwarna kulit hitam.

"Adakah kuota 100 peratus Bumiputera UiTM disifatkan sebagai 'kuota munasabah' dan berperlembagaan atau adakah ia telah menjejaskan 'hak-hak sahih' komuniti etnik lain yang sepatutnya mempunyai akses yang sama kepada pendidikan awam percuma.

"Adakah kursus asasi universiti awam diperuntukkan 100 peratus kuota untuk pelajar Bumiputera dianggap sebagai 'kuota munasabah' dan berperlembagaan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini.

Pada 26 Jun lalu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dilaporkan berkata, dasar UiTM untuk kaum Melayu, Orang Asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak masih dikekalkan.

Zambry dilaporkan berkata, pengekalan dasar itu masih diperlukan dalam usaha untuk merealisasikan hasrat kerajaan merapatkan jurang antara kaum terutamanya membabitkan aspek sosioekonomi.

Pada 17 Mei lalu pula, Pemuda Umno dilaporkan memberi amaran kepada mana-mana pihak, termasuk ahli politik atau akademik supaya tidak lagi mengemukakan cadangan 'dangkal' mengenai kemasukan penuntut bukan Bumiputera ke UiTM.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh dilaporkan berkata, pihaknya berpegang teguh dengan pendirian kerajaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa UiTM yang menjadi sebahagian hak keistimewaan Melayu serta Bumiputera, tidak sesekali di sentuh pihak lain.

Mei lalu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM dilaporkan menyeru mahasiswa di universiti itu memakai pakaian hitam sebagai membantah rancangan membuka UiTM kepada penuntut bukan Bumiputera.

Mereka turut meminta mahasiswa memuat naik gambar bersama tanda pagar #MahasiswaUiTMBantah di platform media sosial sebagai menyokong kempen yang dilancarkan.

Dalam pada itu, Dr Boo yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai berkata, Dr Muhamad Akmal bertindak seperti Gabenor Alabama, George Wallace, pada 1963, yang cuba menghalang dua pelajar kulit hitam daripada mendaftar di Universiti Alabama.

Malah katanya, Gabenor Alabama itu didakwa sanggup mengingkari perintah Mahkamah Agung Amerika bahawa pengasingan adalah bertentangan dengan perlembagaan Amerika Syarikat.

"Untuk mengembalikan daya saing semua rakyat Malaysia, kita perlu menyepadukan diri dengan rakan sebaya dan mempelajari kemahiran yang terkini melalui pendekatan bergaul dengan komuniti etnik lain daripada memisahkan diri daripada rakan sebaya berlainan kaum.

"Integrasi sejati antara pelbagai lapisan masyarakat hanya boleh berlaku jika institusi-institusi awam terbuka kepada semua warga Malaysia dan beroperasi secara telus melalui kerjasama yang lebih erat dengan sektor swasta," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Boo berkata, mana-mana institusi pendidikan, agama atau kebudayaan untuk tujuan tertentu satu kumpulan etnik, ia harus dibina atas dasar kebajikan masyarakat dan kemanusiaan.

"Masyarakat India dan Cina boleh mengumpul dana untuk sekolah vernakular dan kolej universiti, yang bukan sahaja terbuka kepada kumpulan etnik mereka sendiri, tetapi juga dibuka kepada komuniti etnik yang lain.

"Oleh itu, usahawan Melayu yang kaya-raya dan berada sewajarnya melakukan usaha yang sama untuk memajukan masyarakat mereka sendiri jika mereka tidak dapat berhasrat melakukannya untuk komuniti etnik lain," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 4:50 PM