Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyampaikan ucapan ketika majlis perasmian Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Peringkat Wilayah Persekutuan 2024 di Dewan Syarahan Masjid Negara, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyampaikan ucapan ketika majlis perasmian Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Peringkat Wilayah Persekutuan 2024 di Dewan Syarahan Masjid Negara, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menahan lelaki Pakistan dikenali sebagai Muhammad Qasim Abdul Karim bagi menjalankan siasatan lanjut selepas didakwa mengajar tanpa tauliah di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar yang mengesahkan penahanan lelaki itu bagaimanapun tidak memperincikan untuk tidak mengganggu siasatan.

"Saya dimaklumkan berkaitan operasi dijalankan Jawi dan apa yang dibawa oleh individu berkenaan dari Pakistan itu memang jelas kata dia bermimpi bertemu Rasulullah dan sebagainya.

"Itu pun berkait isu akidah. Pengajian dan dakyah dibawa oleh Qasim ini memang diperhatikan oleh Jawi khususnya bahagian penguatkuasaan sehinggalah Jawi ambil tindakan untuk memulakan operasi dan tangkapan.

"Cuma setakat ini saya tak boleh dedahkan sebab siasatan itu masih dijalankan," katanya ketika ditemui pada Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Peringkat Wilayah Persekutuan 2024 di Masjid Negara yang turut dihadiri oleh Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Prof Dr Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi di sini, hari ini.

Ditanya sama ada individu itu akan dituduh di mahkamah, Mohd Na'im berkata, ia bergantung kepada siasatan.

"Bergantung kepada siasatan dilakukan, kuasa mendakwa bergantung pihak Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan.

"Apa Jawi buat ialah kumpul bukti dan laporan serta serah kepada Ketua Pendakwa Syarie. Beliau yang akan buat keputusan.

"Setakat ini pertuduhan ialah tidak ada tauliah... dakwaan paling terkini mungkin bawa kesalahan tanpa tauliah," katanya.

Mohd Na'im berkata, Muhammad Qasim mempunyai pengikutnya berdasarkan operasi tangkapan yang dibuat terhadapnya.

"Kalau ikut masa operasi berjalan, memang ada pengikut. Sebab itu nak pastikan jumlahnya tidak merebak, kita ambil tindakan penguatkuasaan," katanya.

Menurutnya, Jawi juga akan melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sekiranya lelaki berkenaan memuat naik kandungan berkaitan ajarannya di media sosial, namun setakat ini tiada laporan dibuat kepada SKMM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 4:42 PM