Jauteh (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam Ops Tapis yang dijalankan di seluruh Sabah. FOTO JUWAN RIDUAN
Jauteh (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam Ops Tapis yang dijalankan di seluruh Sabah. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis Sabah menyifatkan dakwaan yang mengatakan kononnya dadah dijual seperti pisang goreng di negeri itu sebagai keterlaluan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata kenyataan itu bertentangan dengan usaha keras polis selama ini dalam membanteras masalah dadah di negeri ini.

Katanya, Polis Sabah sentiasa berusaha untuk memaksimumkan tindakan ke atas mana-mana pihak dalam isu berkaitan dengan dadah.

"Dalam tempoh Januari hingga semalam, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah berjaya menangkap seramai 8,993 pesalah narkotik dan daripada jumlah itu 88 peratus telah dilakukan pertuduhan di mahkamah.

"Jumlah itu juga adalah hasil tangkapan daripada operasi yang dibuat secara berterusan oleh JSJN Kontinjen Sabah dengan dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh Sabah.

"Daripada jumlah keseluruhan tangkapan ini, jika kita lihat dari segi pecahan yang memiliki dadah seramai 2,588 individu manakala positif seramai 5,766 individu," katanya dalam sidang media JSJN Sabah di IPK Sabah, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, daripada jumlah tangkapan itu juga, seramai 20 individu dituduh atau diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya - (Langkah-Langkah Pencegahan Khas - LLPK) 1985.

"Sepanjang tempoh yang sama juga, seramai 367 orang penagih dituduh mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Bukan itu sahaja, daripada jumlah tangkapan bagi tempoh yang sama, polis melakukan rampasan sebanyak 85 kilogram dadah," katanya.

Jauteh berkata, jika dilihat pecahan rampasan dadah jenis syabu adalah penyumbang utama dengan rampasan sebanyak 71 kilogram.

Katanya, tahun ini juga, polis berjaya membuat tangkapan dadah jenis yang anggap 'spesis' baru iaitu syabu cair dengan rampasan sebanyak 1.4 kilogram.

"Ini ertinya bahawa komitmen dan ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah dalam memerangi isu berkaitan dadah adalah amat serius.

"Malah jika dibandingkan jumlah tangkapan tahun ini berbanding tahun lalu, tahun ini lebih ramai. Jadi kalau ada berita-berita mengatakan bahawa dadah ini dijual seperti pisang goreng di Sabah adalah kenyataan yang keterlaluan," katanya.

Sementara itu, mengenai Statistik kadar jenayah di Sabah bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini meningkat sebanyak 322 kes atau 16.4 peratus.

"Kenaikan kadar jenayah ini disebabkan polis membuka semua laporan polis yang ada unsur jenayah. Namun kadar jenayah di negeri ini terkawal dan terjamin.

"Kontinjen Sabah juga berjaya menyelesaikan 75.20 peratus kes jenayah sekali gus menempatkan Kontinjen Sabah bagi kadar penyelesaian kes di tangga keempat di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 4:26 PM