Abnor Hamizam Abd Manap


Kuala Pilah: Peminat bola sepak kesal apabila ada penjaga atau bapa kepada pelajar sekolah berlagak samseng dan cuba mencetuskan provokasi selepas anak mereka yang menyertai pertandingan sukan popular itu dilayangkan kad merah.

Dalam kejadian dipercayai berlaku ketika kejohanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Kuala Pilah, seorang lelaki yang berang selepas anaknya menerima kad merah dipercayai cuba memasuki padang sambil membawa sebatang objek dipercayai besi.

Bapa yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil it dipercayai mahu masuk ke padang, namun dihalang pegawai MSSM sebelum seorang anggota Rela merampas objek dibawanya.

Anggota Rela kemudian menenangkan lelaki berkenaan sebelum dia bersama anaknya berlalu pergi meninggalkan venue perlawanan.

Video yang tular itu turut menyaksikan pertengkaran mulut di antara bapa pelajar dengan anggota Rela dan pegawai kejohanan, namun keadaan berjaya dikawal.

Berdasarkan komen netizen, kebanyakan kurang senang dengan tindakan bapa berkenaan yang dilihat terlebih emosi, malah ada menyarankan bapa berkenaan meminta anaknya bermain congkak.

Netizen turut mempertikaikan mengenai sikap bapa yang sudah besar kepala, sedangkan anak baru bermain di peringkat sekolah.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr Roslan Hussin berkata, kejohanan bola sepak itu adalah anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia dengan jadual perlawanan membabitkan beberapa venue di seluruh negara.

Katanya, pengadil perlawanan dilantik pihak MSSM dan bukan dalam kalangan guru di negeri ini.

"Bagaimanapun pihak sekolah menjadi venue perlawanan sudah mengambil tindakan sewajarnya termasuk aspek kawalan keselamatan terutama dalam menghadapi kerenah penyokong di luar padang.

"Semua prosedur kawalan keselamatan dipatuhi bagi menangani situasi seperti video tular itu," katanya.

Beliau berkata, kejadian berkenaan sudah diselesaikan secara baik dan berharap ia menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 4:19 PM
ANGGOTA Rela mententeramkan seorang lelaki yang cuba masuk ke padang dengan membawa objek dipercayai besi selepas anaknya dilayangkan kad merah dalam perlawanan bola sepak MSSM.
ANGGOTA Rela mententeramkan seorang lelaki yang cuba masuk ke padang dengan membawa objek dipercayai besi selepas anaknya dilayangkan kad merah dalam perlawanan bola sepak MSSM.