POLIS melakukan pemeriksaan dalam serbuan berkenaan. FOTO Agensi
POLIS melakukan pemeriksaan dalam serbuan berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Kegiatan seorang lelaki yang juga jurutera kilang berusia 39 tahun di Thailand yang mengaut untung dengan membuat, mengubah suai dan menjual senjata api secara haram secara dalam talian, terbongkar selepas ditangkap polis dalam satu serbuan, Khamis lalu.

Bangkok Post melaporkan lelaki itu ditahan ketika polis menyerbu biliknya di asrama pekerja dekat daerah Pak Kret, Nonthaburi yang dijadikan markas untuk menghasilkan senjata berkenaan.

Pasukan polis Unit Pencegahan Jenayah (CSD) datang bersama dengan waran mahkamah dan menggeledah asrama itu kira-kira, 6 pagi.

Suspek, Prajak Phoonphian, 39, yang tidur ketika serbuan dilakukan ditangkap kerana bersekongkol dalam menghasilkan atau mengubah senjata secara haram, mengimport atau menjual senjata api dan memiliki senjata api tanpa izin.

"Kami menemui senapang, pistol kosong dan alat menembak hasil pemeriksaan dijalankan di bilik suspek.

"Penyiasat menerima maklumat mengenai kumpulan membuat dan menjual senjata api secara haram dalam talian dan ada bukti menunjukkan pembabitan Prajak," kata Veeracharn iaitu pegawai CSD yang mengetuai serbuan berkenaan.

Ketika disoal siasat, Prajak memberitahu dia bekerja di kilang, tetapi terbabit dalam kegiatan itu kerana tidak memperoleh pendapatan yang cukup untuk memenuhi keperluan kerana kenaikan kos sara hidup. - Agensi

Oleh itu, dia bekerjasama dengan beberapa rakan dalam menghasilkan pistol pen, pistol BB (ball bearing) dan pistol.

Senjata itu dijual kepada peniaga yang kemudian menjualnya secara dalam talian.

Suspek mengaku menghasilkan senjata itu selama dua tahun dan menjual kepada lebih 100 peniaga.

Lelaki itu menggunakan kemahiran yang dipelajarinya di kolej teknikal dengan bantuan mesin dan peralatan di kilang untuk menghasilkan senjata ketika tiada siapa berada di sana.

Setiap unit pistol pen berharga berharga sekitar 400 baht (kira-kira RM51.20) dan dia menjualnya dengan harga 1,100 baht (kira-kira RM140.80).

Peniaga kemudian menjualnya dengan harga 1.600 baht (kira-kira RM205)

Menurut Veeracharn, pasukannya turut melakukan serbuan ke 15 lokasi lain di Nakhon Sawan, Phetchabun, Ubon Ratchathani, Amnat Charoen, Chon Buri, Samut Prakan, Ayutthaya, Ang Thong, Nonthaburi dan Nakhon Pathom untuk menangkap saki-baki ahli kumpulan terbabit

Enam lagi suspek ditangkap semasa serbuan di lokasi lain.

Lebih daripada 30 senjata dan aksesori senjata lain, wang tunai 1.1 juta baht (kira-kira RM140,860) dan beberapa buku simpanan bank dirampas daripada kesemua suspek.

Timbalan Ketua CSD, Pol Laorujiralai berkata, penangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima maklumat ada kumpulan persendirian dalam talian untuk mereka yang gemar menggunakan senjata api.

Ia berfungsi sebagai saluran untuk menjual dan membeli senjata dengan bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 6:45 AM