BRANDON (kanan) dan bapanya, Paul. FOTO Agensi
BRANDON (kanan) dan bapanya, Paul. FOTO Agensi
Agensi

Miami: Berang akibat disaman didakwa menjadi punca seorang lelaki dari Florida, Amerika Syarikat (AS) membunuh bapanya, selepas dia dikatakan mencuri AS$450,000 (kira-kira RM2.1 juta) daripada tabung amanah keluarga.

Mirror UK melaporkan, mayat mangsa iaitu peguam Paul Labiner, 68, yang dipenuhi peluru ditemukan di luar pejabatnya di kompleks bangunan Monterey di Boca Raton, pada Sabtu.

Anak lelakinya, Brandon Labiner, 34, yang juga seorang peguam didakwa dengan pembunuhan peringkat pertama.

Konflik tercetus apabila Labiner hilang kelayakan sebagai peguam pada April lalu selepas bapanya memfailkan saman dengan dakwaan penyelewengan wang berjumlah AS$450,000 (kira-kira RM2.1 juta).

Berikutan itu, Labiner dihadapkan ke mahkamah di Palm Beach, Isnin lalu.

Sementara itu, Jabatan Polis Boca Raton dalam satu kenyataan berkata, "individu berkepentingan" mengurung diri di dalam sebuah bangunan dan hanya keluar selepas ahli Pasukan Senjata dan Taktik Khas (SWAT) berunding dengan mereka.

"Suspek memberi kerjasama dan ditahan tanpa sebarang insiden.

"Pada masa itu, suspek ditahan dengan waran aktif.

"Dia kemudiannya dibawa ke Penjara Palm Beach sementara penyiasat terus menjalankan soal siasat dan mengumpul bukti untuk menentukan pembabitan suspek dalam siasatan kematian mangsa," kata polis dalam kenyataan itu.

Polis mengaitkan Labiner dengan kejadian tembakan selepas rakaman pengawasan dari beberapa lokasi menunjukkan suspek memandu di sekitar kawasan itu, sekitar 2 petang pada hari pembunuhan mangsa.

Laporan polis memaklumkan individu sama kemudian dilihat dengan beg bertali dalam perjalanan ke pejabat Paul Labiner dengan basikal.

Laporan itu mengatakan polis menemui beg galas, lelopak peluru senjata api, beberapa kotak pelbagai jenama peluru, kotak untuk pistol, tong gas, pemetik api, sarung tangan dan topeng muka di dalam kereta suspek.

Dalam rakaman itu, suspek, seorang lelaki, kemudian dilihat mengeluarkan kotak berisi pistol dari begnya.

Rakaman menunjukkan suspek berlegar di sekitar garaj, selama kira-kira 40 minit, sebelum individu kedua muncul sebelum berlaku pergaduhan membabitkan kedua-dua lelaki.

Mereka bergelut sebelum suspek dilihat melarikan diri dengan pistol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 12:15 PM