PLAKAD Free Palestine dipegang orang ramai yang berhimpun di Grant Park, Chicago dan berarak ke konsulat Isreal sebagai membantah serangan udara ke atas Palestin pada Rabu. FOTO AFP.
PLAKAD Free Palestine dipegang orang ramai yang berhimpun di Grant Park, Chicago dan berarak ke konsulat Isreal sebagai membantah serangan udara ke atas Palestin pada Rabu. FOTO AFP.
Agensi

Ramallah: Palestin akan melakukan apa sahaja bagi mempertahankan hak rakyatnya.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, beliau akan berusaha menghentikan tindakan rejim Israel daripada merosakkan Baitulmaqdis dan wilayah lain negara itu.

"Penyerangan berterusan tentera penjajah ke atas rakyat kami di mana-mana termasuk di Semenanjung Gaza, melampaui batas, terkeluar daripada semua norma dan konvensyen antarabangsa.

"Ia meletakkan kami berdepan pilihan sukar dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan kesucian, hak dan rakyat kami.

"Baitulmaqdis adalah 'garis merah', jantung dan jiwa Palestin, serat ia ibu kota abadi. Tidak akan ada kedamaian, keamanan mahupun kestabilan kecuali dengan pembebasan sepenuhnya," katanya dalam mesyuarat pemimpin di ibu pejabat presiden di Ramallah bagi membincangkan kesan pencerobohan Israel terhadap rakyat Palestin.

Beliau berkata, Israel sedang melakukan jenayah perang dan pembersihan etnik bagi menghapuskan identiti Arab Islam di Baitulmaqdis.

"Ini dilakukan dengan merampas kediaman dan merosakkan kawasan rumah ibadat seperti Masjidil al-Aqsa," katanya.

Ucapan itu yang ditujukan terus kepada Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat, Abbas menggesa pencerobohan itu dihentikan dan menegaskan Palestin tidak akan tunduk mahupun meninggalkan tanah air mereka.

Sementara itu, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud turut mengecam tindakan Israel melakukan serangan serta keganasan di Baitulmaqdis dan Masjidil al-Aqsa.

Katanya, kerajaannya tetap berdiri teguh bersama rakyat Palestin bagi mendapatkan hak mereka yang sah.

Beliau menyuarakan pendirian Arab Saudi dalam perbualan telefon bersama Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan pada Rabu bagi membincangkan serangan Israel di Baitulmaqdis, lapor Saudi Press Agency (SPA).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 1:24 PM