TENTERA Israel di sebalik kubu memerhatikan penduduk Palestin yang melakukan demonstrasi berhampiran pagar sempadan di Gaza, bagi membantah Perarakan bendera Israel di Baitulmaqdis. FOTO AFP
TENTERA Israel di sebalik kubu memerhatikan penduduk Palestin yang melakukan demonstrasi berhampiran pagar sempadan di Gaza, bagi membantah Perarakan bendera Israel di Baitulmaqdis. FOTO AFP
BERNAMA

Ramallah: Perarakan bendera oleh Israel di Baitulmaqdis pada Khamis mencetuskan kemarahan dan kecaman orang awam dan pegawai Palestin, lapor Xinhua.

Puluhan ribu rakyat Israel menyertai perarakan untuk memperingati 'Penyatuan Baitulmaqdis' di tengah-tengah langkah keselamatan Israel yang ketat.

Peserta mengibarkan bendera Israel dan melaungkan slogan anti-Palestin, berarak dari bahagian barat bandar itu melalui Kota Lama Baitulmaqdis sehingga ke Wailing Wall (Tembok Ratapan) berhampiran Masjid Al-Aqsa.

Jurucakap presiden Palestin, Nabil Abu Rudeineh, memberitahu pemberita di Ramallah di Tebing Barat bahawa Baitulmaqdis hanya akan menjadi ibu negara Palestin yang merdeka sampai bila-bila.

"Rakyat Palestin mempunyai hak yang sah di Baitulmaqdis, bukan Israel atau Amerika Syarikat (AS)," kata Abu Rudeineh, mengecam perarakan itu sebagai "provokasi dan peningkatan (ketegangan) Israel".

Beliau menganggap Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas peningkatan ketegangan yang akan membawa kepada lebih banyak permusuhan, bukan sahaja di Baitulmaqdis, bahkan di seluruh wilayah.

Agensi berita rasmi Palestin (Wafa) melaporkan bahawa peserta Israel dalam perarakan itu yang dilindungi pegawai polis Israel, menyerang beberapa rakyat Palestin.

Polis Israel turut menahan 10 rakyat Palestin kerana menghalang perarakan.

Pada pagi Khamis, Israel mengerahkan lebih 3,000 anggota polis di seluruh Kota Baitulmaqdis untuk memantau perarakan itu, menurut Radio Israel.

Di Semenanjung Gaza, ratusan rakyat Palestin berdemonstrasi berhampiran pagar sempadan antara timur Semenanjung Gaza dan Israel membantah perarakan bendera Israel itu.

Mereka mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan menentang Israel, sambil membakar tayar dan menggantung berpuluh-puluh bendera Palestin di pagar sempadan, kata saksi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 11:26 AM