RAJA Salman Abdulaziz Al Saud. FOTO arkib NSTP
RAJA Salman Abdulaziz Al Saud. FOTO arkib NSTP
Reuters

RAJA Arab Saudi, Raja Salman mengulangi sokongan Arab Saudi terhadap pembentukan sebuah negara Palestin selepas anak lelakinya dan pewaris berkata, Israel berhak untuk tinggal secara aman di tanah airnya dalam kenyataan jarang dikeluarkan seorang pemimpin Arab.

Raja Salman turut menegaskan, perlunya proses damai lanjut dalam satu panggilan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump malam Isnin lalu.

Panggilan itu dibuat selepas tentera Israel membunuh 16 penduduk Palestin minggu lalu ketika bantahan di sepanjang sempadan Israel-Gaza.

Angka maut itu meningkat 17 orang semalam.

“Kerajaan pentadbiran diraja mengesahkan pendirian teguh terhadap isu Palestin dan hak sah rakyat Palestin kepada sebuah negara bebas dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya,” kata Raja Salman dipetik agensi berita SPA semalam.

Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas memuji Raja Salman, mengucapkan terima kasih atas sokongan beliau.

“Presiden Abbas melahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas sokongan terhadap rakyat Palestin, isu diperjuangkan Palestin dan Baitulmaqdis serta tapak sucinya,” kata kenyataan diterbitkan agensi berita rasmi Palestin, WAFA.

Kenyataan menyebut, Abbas juga memuji Arab Saudi kerana terus menyokong hak rakyat Palestin menubuhkan sebuah negara bebas dengan Timur Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 9:40 AM