MAHMOUD menerima surat tauliah Naif (kanan) di pejabat presiden di Ramallah, Tebing Barat. FOTO AFP.
MAHMOUD menerima surat tauliah Naif (kanan) di pejabat presiden di Ramallah, Tebing Barat. FOTO AFP.
Agensi

Baitulmaqdis: Duta Arab Saudi ke Palestin yang pertama, Naif Bandar Al-Sudairi tiba di Tebing Barat semalam, lapor agensi berita rasmi Palestin, WAFA.

Mengetuai delegasi rasmi, Naif duta bukan pemastautin ke Palestin dan konsul jeneral bukan pemastautin di Baitulmaqdis, menyampaikan surat tauliahnya kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di ibu pejabat presiden di Ramallah.

Ketibaan Naif tepat pada masanya ketika usaha Israel untuk menormalkan hubungan dengan Arab Saudi.

Ketika pertemuan, Mahmoud mengalu-alukan kehadiran Naif dan berkata, lawatannya ke Palestin dan pelantikan sebagai Duta Arab Saudi ke Palestin akan menyumbang kepada pengukuhan hubungan persaudaraan yang mengikat dua negara dan rakyat bersaudara.

Sementara itu, Naif mengulangi pendirian tegas kerajaan Arab Saudi dalam menyokong rakyat Palestin dan menegakkan keadilan buat mereka.

"Lawatan ini akan menjadi permulaan kejayaan dalam mengukuhkan hubungan dalam semua bidang," katanya yang dipetik Xinhua.

Terdahulu, ketika ditanya pemberita mengenai nasib Inisiatif Keamanan Arab sekiranya mencapai perjanjian normalisasi antara Arab Saudi dan Israel, Naif berkata, inisiatif itu adalah asas kepada mana-mana perjanjian akan datang.

Inisiatif Keamanan Arab dilancarkan pada 2002 selepas digubal Arab Saudi dan diterima pakai Liga Arab.

Inisiatif itu menyeru penamatan konflik antara Israel dan Palestin dan normalisasi hubungan antara Israel dan negara Arab sebagai pertukaran untuk pengunduran Israel dari kawasan yang diperoleh sejak 1967, penyelesaian sewajarnya kepada isu pelarian Palestin.

Palestin menuntut penubuhan sebuah negara merdeka bersama Israel di semua wilayah Palestin yang diduduki Israel termasuk seluruh Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 11:33 AM