Pelawat Yahudi melawat perkarangan Masjid Al-Aqsa ketika tentera Israel berkawal di kawasan berkenaan. - FOTO Reuters
Pelawat Yahudi melawat perkarangan Masjid Al-Aqsa ketika tentera Israel berkawal di kawasan berkenaan. - FOTO Reuters
Agensi

Baitulmaqdis: Kerajaan Israel mengarahkan larangan laungan azan Isyak di Masjid Al-Aqsa selepas penduduk Palestin menyambut Aidilfitri pada Isnin lalu.

Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan, sumber Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis menyatakan tentera regim Zionis melarang laungan azan itu dan menimbulkan kemarahan penduduk Palestin.

Sumber di Palestin menyatakan tentera penjajah bertindak memutuskan talian pembesar suara di masjid itu atas permintaan pihak penjajah Israel.

Tentera Israel memberi alasan ia dilakukan kerana Perdana Menteri Israel, Naftali Bennet, sedang menyampaikan ucapan di Tembok Buraq (Tembok Barat) iaitu sebuah tembok batu kapur purba di Kota Lama Baitulmaqdis.

Sebagai tindak balas, gerakan Jihad Islam di Palestin dan Suruhanjaya Antarabangsa Menyokong Hak Rakyat Palestin (Hashd) mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan Israel itu.

Sementara itu di Jeddah, Arab Saudi, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memberi amaran terhadap pencabulan dan ancaman berterusan oleh penduduk Israel yang dilindungi tentera negara haram itu.

Ia susulan tindakan Israel yang menggempur Masjid Al-Aqsa dan melakukan upacara sembahyang mereka di halaman kawasan suci umat Islam itu, termasuk bertindak mengibarkan bendera pendudukan Israel di dalamnya.

OIC mengecam pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva serta pelanggaran kesucian masjid.

Pertubuhan antarabangsa itu menyalahkan sepenuhnya pendudukan Israel yang memberi kesan berterusan terhadap pelanggaran ini kerana secara terang-terangan melukakan perasaan umat Islam.

Sehubungan itu, OIC menggesa masyarakat antarabangsa terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supaya menunaikan tanggungjawab bagi mencegah Israel dan tenteranya terus mencabul serta menceroboh tanah milik rakyat Palestin, baik yang beragama Islam atau Kristian serta tapak suci mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 6:33 PM