Mohd Nasif Badruddin; Fairul Asmaini Mohd Pilus; Suraya Roslan; Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan


TINDAKAN Amerika Syarikat (AS) memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis tidak membantu dalam usaha damai konflik di Palestin.

Malah, melihatkan reaksi daripada pemimpin utama negara Islam seperti Raja Arab Saudi Raja Abdul Aziz al-Saud, Raja Jordan Raja Abdullah II dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan bimbang akan tercetusnya perang dingin di antara dunia Islam dan Barat.

Presiden MAYC Kebangsaan Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Presiden AS Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel baru-baru ini.

“MAYC Kebangsaan melihat tindakan ini sebagai langkah yang amat mengecewakan apabila sekali lagi Presiden AS itu menjadi ‘ak turut’ terhadap segala kemahuan Yahudi dan Kristian Evengelis yang ternyata berat sebelah.

“Kmi khuatir tindakan ini sekali gus akan menyebabkan pengusiran lebih 300,000 penduduk Palestin di sekitar kota Baitulmaqdis manakala penempatan haram Yahudi pula akan menjadi lebih besar dan tidak terkawal lagi,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, paling membimbangkan, pengiktirafan itu akan memberikan kuasa penuh kepada Israel terhadap Masjidil Aqsa dan kawasan sekitarnya.

Katanya, sekiranya perkara itu berlaku, Israel boleh dengan sesuka hatinya mengawal segala pergerakan keluar masuk dan operasi Masjidil Aqsa mengikut kemahuannya.

“Tidak mustahil suatu hari nanti kerajaan Israel akan menghalang penduduk Palestin dan umat Islam keseluruhannya daripada memasuki Masjidil Aqsa sama sekali,” katanya.

Beliau berkata, MAYC Kebangsaan memuji tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kepimpinan tertinggi negara yang lantang membantah perkara itu.

“Namun kami mengharapkan supaya kerajaan dapat mengambil langkah yang lebih efektif dalam meyakinkan

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kesatuan Eropah (EU) dan

terutamanya Presiden AS bahawa tindakan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel adalah salah dan harus ditarik semula.

“Demi keadilan seluruh umat manusia amnya dan penduduk Palestin yang tertindas khususnya, MAYC Kebangsaan menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya menzahirkan bantahan dan tentangan kita ini walau dengan apapun kaedah dan caranya,” katanya.

Berita berkaitan:

Bantah tindakan Trump [METROTV]

Air mata buat Baitulmaqdis

Baitulmaqdis hak mutlak umat Islam selamanya

Baitulmaqdis ibu kota Israel: Malaysia tolak selama-lamanya

Keputusan berdasarkan akta kedutaan Baitulmaqdis

Trump melulu

Trump akan iktiraf Baitulmaqdis

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 6:11 PM