IMEJ satelit menunjukkan fasiliti nuklear Natanz. FOTO AFP/ JIJI
IMEJ satelit menunjukkan fasiliti nuklear Natanz. FOTO AFP/ JIJI
AFP

Tehran: Organisasi tenaga atom Iran pada Ahad mengesahkan fasiliti nuklear Natanz diserang pengganas.

Ia selepas beberapa jam menyatakan 'kemalangan' menyebabkan gangguan bekalan di situ.

Insiden itu sehari selepas republik Islam itu menyatakan sudah memulakan pengempar pemerkayaan uranium termaju di tapak berkenaan, yang melanggar komitmen mengenai nuklearnya dengan kuasa dunia lain.

Ali Akbar Salehi, ketua Organisasi Tenaga Atom Iran (IAEO), mengutuk serangan berkenaan dan mendesak masyarakat antarabangsa untuk melawan 'keganasan anti-nuklear ini, katanya dalam kenyataan disiarkan televisyen negara itu.

Beliau berkata, serangan itu dilaksanakan oleh 'penentang kepada perkembangan politik dan industri negara', dengan matlamat untuk menghalang perkembangan industri nuklear.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran mengenai pihak atau negara yang terbabit dalam insiden yang didakwa sebagai sabotaj itu.

Dalam pada itu, jurucakap IAEO, Behrouz Kamalvandi pada awalnya melaporkan kemalangan di fasiliti berkenaan sebagai gangguan bekalan tenaga.

Bagaimanapun, tiada individu cedera dan tiada pembebasan radioaktif akibat kejadian itu, kata agensi berita rasmi Iran Fars.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 9:01 AM