IRAN mula melanggar sekatan berhubung aktiviti nuklear pada 2019. FOTO AFP
IRAN mula melanggar sekatan berhubung aktiviti nuklear pada 2019. FOTO AFP
Reuters

Vienna: Iran dikatakan mengembangkan dan mempercepatkan program nuklearnya selepas tidak patuh pada perjanjian nuklear dengan negara kuasa besar pada 2015.

Ia sekali gus mengurangkan masa yang diperlukan negara itu untuk membina bom nuklear, walaupun ia menafikan mahu berbuat demikian.

Seorang komander kanan Pengawal Revolusi Iran berkata, Iran boleh mengkaji semula 'doktrin nuklearnya' susulan situasi semasa berikutan ancaman daripada Israel.

Perjanjian 2015 menggariskan had ketat ke atas aktiviti nuklear Iran sebagai syarat untuk penarikan balik sekatan antarabangsa terhadap Tehran.

Ia bagi mengurangkan stok uranium milik Iran, sekali gus mengurangkan bahan itu dalam gred persenjataan yang boleh digunakan untuk menghasilkan bom nuklear.

Pada 2018, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ketika itu menarik AS daripada perjanjian berkenaan.

AS kemudian mengenakan semula sekatan ekonomi ke atas Tehran. Ia menyaksikan pengurangan jualan minyak oleh Iran dan menjejaskan ekonomi negara itu.

Pada 2019, Iran mula melanggar sekatan berhubung aktiviti nuklearnya. Ia kini melanggar semua sekatan utama perjanjian itu, termasuk dalam memperkaya uranium dan jumlah bahan itu yang boleh disimpannya.

Stok uranium diperkaya, yang dihadkan pada 202.8 kilogram di bawah perjanjian itu, dikatakan sudah berjumlah 5.5 tan pada Februari lalu, menurut laporan suku tahunan terbaru oleh badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Iran kini memperkaya uranium sehingga 60 peratus ketulenan dan mempunyai bahan yang cukup diperkaya ke tahap itu. Jika diperkaya lagi, ia boleh untuk dua senjata nuklear, menurut teori dikemukakan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Ini bermakna masa yang diperlukan untuk menghasilkan uranium gred senjata yang mencukupi untuk bom nuklear, sudah hampir dalam beberapa minggu atau hanya beberapa hari lagi.

IAEA sebelum ini memeriksa tapak yang diisytiharkan Iran sebagai loji di atas tanah dan tapak yang lebih besar di bawah tanah di kompleks Natanz dan satu lagi di dalam gunung di Fordow.

Apabila Iran berhenti melaksanakan syarat seperti dalam perjanjian pada 2015, IAEA tidak lagi boleh memantau sepenuhnya pengeluaran dan inventori uranium negara itu.

Agensi perisikan AS dan IAEA percaya, Iran mempunyai program senjata nuklear diselaraskan yang dihentikan pada 2003.

Iran menafikan pernah mempunyai program senjata nuklear, walaupun Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei pernah berkata, pemimpin dunia tidak akan dapat menghalang, jika pihaknya mahu berbuat demikian.

AYATOLLAH Ali Khamenei. FOTO AFP
AYATOLLAH Ali Khamenei. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 7:05 AM