MARYAM menjalani hukuman penjara di di Penjara Pusat Rasht. FOTO Agensi
MARYAM menjalani hukuman penjara di di Penjara Pusat Rasht. FOTO Agensi
Agensi

Tehran: Seorang anak perempuan di Iran terbabit dalam pelaksanaan hukuman mati terhadap ibu yang didapati bersalah membunuh bapanya.

Maryam Karimi sebelum ini dijatuhi hukuman gantung kerana membunuh suaminya.

Wanita itu dilaporkan melakukan perbuatan itu kerana lelaki itu dikatakan kerap menderanya.

The Sun melaporkan dia menjalani hukuman gantung itu pada 13 Mac lalu di Penjara Pusat Rasht selepas menjalani hukuman penjara selama 10 tahun.

Televisyen Iran International melaporkan anak perempuan Maryam turut menyertai proses pelaksanaan hukuman berkenaan.

Anaknya itu baru berusia enam tahun ketika si ibu membunuh ayahnya.

Hukuman itu dilaksanakan selepas ahli keluarga menolak untuk memaafkan atau menerima wang darah yang lazimnya untuk 'menggantikan' hukuman mati berkenaan.

Sumber kepada kumpulan hak asasi manusia di Iran berkata, sejak pembunuhan itu, anak Maryam dijaga keluarga ayahnya.

Selama 13 tahun, keluarga ayahnya memberitahu ibu bapanya sudah meninggal dunia.

Namun, mereka memutuskan memberitahu kebenaran kepada remaja berkenaan, beberapa minggu sebelum ibunya menjalani hukuman berkenaan.

Selepas hukuman mati dilaksanakan, ayah Maryam, Ebrahim dibawa untuk melihat jenazah anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 7:10 AM