BAHAGIAN pesawat yang terkena dron itu. FOTO Agensi
BAHAGIAN pesawat yang terkena dron itu. FOTO Agensi
Agensi

Riyadh: Kebakaran berlaku selepas dron membawa bom dilancarkan pemberontak Houthi di Yaman, mengenai sebuah pesawat komersial di Lapangan Terbang Abha di selatan Arab Saudi.

Media tempatan bagaimanapun melaporkan kebakaran dalam kejadian pada Rabu itu, dapat dikawal.

"Serangan pengganas dilancarkan oleh militan Houthi di Lapangan Terbang Abha... sebuah pesawat komersial di kawasan lapangan terbang terkena dron dan ia menyebabkan kebakaran.

"Bagaimanapun, ia (kebakaran) dapat dikawal," lapor stesen televisyen kerajaan, Al-Ekhbariya pada Rabu.

Susulan kejadian, pemberontak Houthi mengaku bertanggungjawab atas serangan berkenaan.

Pergolakan konflik di Yaman sejak 2014 apabila pemberontak Houthi mengambil alih kuasa di sebahagian besar negara itu, termasuk ibu negaranya, Sanaa.

Perang tercetus sejak Mac 2015 apabila tentera gabungan diketuai Arab Saudi campur tangan untuk mengembalikan kuasa kepada kerajaan pimpinan Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi.

Sebagai tindakan balas, pemberontak Houthi sering melancarkan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan lapangan terbang antarabangsa, kemudahan tentera dan infrastruktur minyak di Arab Saudi.

Dalam pada itu, Arab Saudi berjaya memintas serangan satu peluru berpandu balistik dan dua dron yang dilancarkan pemberontak Houthi, pada Khamis.

Sementara itu, AFP melaporkan Jerman, United Kingdom dan Perancis mengutuk serangan di lapangan terbang berkenaan dengan menyifatkannya menyalahi undang-undang antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 12:00 PM