PENDUDUK melakukan ujian saringan Covid-19. FOTO AFP
PENDUDUK melakukan ujian saringan Covid-19. FOTO AFP
AFP

Beijing: China menolak gesaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menjalankan siasatan semula mengenai asal usul Covid-19, dengan mengatakan ia menyokong usaha 'ilmiah' atas 'politik' untuk mengetahui bagaimana virus itu bermula.

Beijing sekali lagi berdepan tekanan supaya berkongsi data mentah mengenai asal usul virus pandemik Covid-19 yang sudah membunuh lebih empat juta penduduk dunia, dan melumpuhkan ekonomi seluruh dunia sejak mula dikesan di Wuhan.

Januari lalu, sepasukan pakar antarabangsa WHO berlepas ke Wuhan sebelum mengeluarkan laporan siasatan fasa pertama yang dihasilkan bersama rakan sejawat di China.

Bagaimanapun, mereka gagal mendapatkan kesimpulan kukuh bagaimana virus itu bermula.

Semalam, WHO menggesa China berkongsi data mentah daripada kes Covid-19 yang terawal dikesan, bagi meneruskan siasatan lanjut mengenai asal usul wabak itu.

Namun, China sekali lagi mengulangi pendirian bahawa siasatan awal yang dilakukan sudah mencukupi dan usaha mendapatkan data lanjut itu didorong oleh faktor politik berbanding penyelidikan saintifik.

"Kami menentang siasatan berunsur politik... dan 'membuang' laporan bersama yang sudah dikeluarkan selepas pakar WHO melawat Wuhan Januari lalu.

"Kami menyokong penyelidikan saintifik," kata Naib Menteri Luar, Ma Zhaoxu kepada wartawan.

Laporan itu menyatakan virus terbabit berpindah daripada kelawar kepada manusia melalui haiwan perantara, manakala dakwaan kebocoran makmal virologi di Wuhan pula dilihat sebagai 'amat tidak berkemungkinan.'

Ma turut menolak cadangan untuk barisan siasatan yang baharu.

"Kesimpulan dan cadangan oleh WHO serta China dalam laporan bersama diiktiraf komuniti dan penyelidik antarabangsa.

"Siasatan lanjut hanya boleh dibuat berdasarkan laporan sedia ada, dan tiada siasatan baru akan dilakukan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 3:14 PM