PENGAWAL menjaga keselamatan ketika pasukan WHO yang menyiasat asal-usul Covid-19  melawat Institut Virologi Wuhan. FOTO AFP
PENGAWAL menjaga keselamatan ketika pasukan WHO yang menyiasat asal-usul Covid-19 melawat Institut Virologi Wuhan. FOTO AFP
BERNAMA

Beijing: Pasukan pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sangsi terhadap khabar angin mengenai Institut Virologi Wuhan (WIV) dikatakan sebagai tempat asal usul virus Covid-19.

Sebaliknya, pasukan tersebut yakin dengan tahap keselamatan di kawasan itu dan memberikan penilaian yang positif terhadap cara pengurusan serta pengendalian makmal di institut berkenaan.

Pasukan pakar WHO berada di China bagi menyiasat asal-usul pandemik Covid-19 dan telah melawat WIV serta makmal institut tersebut di Wuhan, wilayah Hubei pada Rabu lalu.

Pakar epidemiologi Institut Pasteur St Petersburg, Rusia, Dr Vladmir Dedkov mendapati makmal berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan berpiawaian tinggi dan pihaknya sangsi bagaimana virus boleh disebarkan dari kawasan tersebut.

Seorang lagi pakar, Peter Daszak, yang telah mengumpul pelbagai maklumat mengenai makmal itu mengesahkan banyak pencapaian sains dan penyelidikan berjaya dihasilkan di makmal tersebut.

Mengulas mengenai Pasar Basah Huanan pula, Dr Vladmir Dedkov mengesahkan tiada bukti menunjukkan penularan wabak berpunca daripada pasar itu.

Dalam perkembangan lain, jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin dalam sidang media pada hari yang sama memaklumkan bahawa perbincangan antara pasukan pakar WHO dengan petugas China membuahkan hasil.

Tambah Wang, kerja-kerja menyiasat oleh pakar tersebut ke kawasan hospital, pasar dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Wuhan serta tempat-tempat lain berjalan lancar.

Tegasnya, China akan meneruskan kerjasama dengan WHO secara terbuka, telus dan bertanggungjawab.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 4:41 PM